Ibu tidak akan balik rumah, ibu bukan milik kita – kata Shuib kepada anak-anak

Shuib (tengah) dengan pakaian pelindung diri (PPE) selepas selesai mengebumikan jenazah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak hari ini.



BIARPUN terlalu berat untuk memberitahu anak-anaknya mengenai pemergian buat selama-lamanya ibu mereka yang tercinta, namun kata Shuib dia terpaksa berbuat demikian walaupun sukar.

Katanya, memaklumkan kepada anak-anaknya berkenaan pemergian arwah Siti Sarah merupakan yang paling sukar untuk dilakukannya.

Menjelaskan perkara tersebut kepada anak-anaknya adalah satu ujian yang sangat berat, katanya.

“Saya pangil semua dan beritahu yang ibu tidak akan balik rumah. Saya pesan kita sebelum ini berdoa dengan Allah supaya ibu dapat balik tetapi ibu bukan milik kita, tetapi milik Allah,” katanya dalam satu sesi siaran langsung di Instagram.

Dalam pada itu kata Shuib, selama 11 tahun dia hanya sekadar menumpang tuah seorang isteri yang taat, setia, tidak pernah mengeluh dan tidak malu bersuamikan lelaki sepertinya.


JENAZAH Allahyarham Siti Sarah Raissuddin ketika dibawa keluar dari Hospital Tuanku Canselor Mukhriz.
Dia juga melahirkan rasa syukur sejak arwah Siti Sarah dimasukkan ke hospital, mereka yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isterinya itu tidak pernah putus termasuk daripada insan yang tidak mereka kenali.

Shuib memberitahu, sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka Siti Sarah mengajarnya untuk tidak berkira dengan duit supaya mereka tidak berkira-kira untuk bersedekah.

“Saya ikut kata-kata dia hingga jadi amalan dan itulah kebaikan yang dia ajar saya dan anak-anak. Sebab itu saya reda dengan pemergian dengan dia,” katanya.

Penyanyi kesayangan ramai itu menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Cheras.

Allahyarham yang dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 6 Ogos lalu akibat oksigen dalam badan tidak stabil terpaksa ditidurkan pada Jumaat lalu untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Jenazah dikafan dan dimandikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan van jenazah.

Jenazah penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 36, selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.