80% Kes 'brought in dead' tiada sejarah diagnosis COVID-19 - KKM

80% Kes meninggal ketika tiba di hospital tiada sejarah diagnosis COVID-19 - KKM



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mendedahkan bahawa 80 peratus kes yang dibawa mati (BID) untuk Covid-19 didapati tidak pernah didiagnosis dengan penyakit ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata mereka sama ada tidak mempunyai akses kepada diagnosis atau tidak pernah tampil untuk diuji.

Taburan kes 'brought in dead' (BID) atau meninggal ketika tiba di hospital dijangka mencatatkan jumlah terkumpul yang tinggi bagi minggu ini.

Katanya, BID mewakili kira-kira 80 hingga 100 kes seminggu sejak kebelakangan ini daripada 800 hingga 1,000 kes kematian yang dicatatkan pada setiap minggu.

"Kes BID juga dilihat merekodkan peningkatan secara konsisten sejak minggu lalu, dengan 80 peratus daripadanya tiada sejarah diagnosis (pengesahan saringan) mengenai COVID-19.


Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong
"Ini mungkin bermaksud sama ada mereka tidak tampil untuk buat saringan, tiada akses berbuat demikian atau mempunyai sebab-sebab tertentu.

"Kementerian juga mendapati 20 peratus daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 tetapi lambat mendapat rawatan di kemudahan kesihatan," katanya.

Bagi mengatasi isu sedemikian, Dr Chee Kheong berkata, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) maya ditubuhkan, dengan individu yang disahkan positif tetapi tidak mengalami gejala atau hanya menghidapi gejala ringan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Setakat ini, katanya, 60 peratus daripada individu positif tiada gejala, selebihnya iaitu 30 peratus mengalami gejala ringan dan dikehendaki mengisi borang penilaian, selain dipantau secara maya menggunakan interaksi MySejahtera.

"Menerusi borang penilaian dan pemantauan, kira-kira lima hingga 10 peratus daripada mereka yang mengalami gejala ringan diminta hadir ke CAC untuk menjalani pemeriksaan secara bersemuka. Ini tumpuan kita sekarang.

"Sehingga kini, kita dapati separuh atau 50 peratus daripada individu yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah tidak mengisi borang penilaian. Robo call (robot pusat panggilan) akan menghubungi mereka dan pendekatan ini merekodkan pencapaian positif," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.