Satu usaha perlu segera dibuat bagi menjamin kestabilan. |
UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah minoriti dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum ini iaitu hanya 42 daripada 115, manakala teras lebih besar adalah PN iaitu gabungan Bersatu, Pas, STAR dan Bebas Pro-PN.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerajaan sebelum ini adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kemudiannya PN yang mempunyai komposisi terbesar, sebab itu dinamakan kerajaan PN.
Beliau berkata, sekiranya ditakdirkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau menjadi ketua eksekutif kepada gabungan di mana BN bukan majoriti.
“PN kekal komposisi terbesar, BN kedua dan GPS ketiga.
“Namun perlu diingati dan difahami, politik muafakat, bertolak ansur dan pengorbanan mendahulukan rakyat menjadi ‘backdrop’ kepada kerajaan yang bakal dibentuk.
“Amatlah penting setelah terbentuk dengan Perdana Menteri mengangkat sumpah, satu usaha perlu segera dibuat bagi menjamin kestabilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sebaik sahaja keadaan mengizinkan, sebaiknya kuasa diserah semula kepada rakyat dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seberapa segera.
Menurutnya, yang terbaik bila ada kekusutan dan ketidakstabilan dalam pemerintahan adalah menyerahkan mandat kepada rakyat dan diadakan pilihan raya.
“Malangnya pada masa ini ianya mustahil. Justeru penyelesaian yang ada lebih bersifat suatu konsensus untuk muslihat umum. Ia bukan bentuk paling ideal, tetapi di usahakan apa yang paling praktikal.
“Ia menuntut suatu pemikiran yang jujur, matang serta mendahulukan keselamatan rakyat,” katanya.