Harga ‘katak politik’ cecah RM32 juta sebelum Parlimen dibuka September, sindir Zahid

Harga diri dan maruah Ahli Parlimen jadi taruhan dalam usaha mengumpul sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen, menjelang undi percaya di Parlimen, pada September ini.



PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi secara sinis berkongsi harga “katak politik” dalam tempoh sebulan ini dijangka melambung kepada RM32 juta seekor.

Dalam kenyataan terbaharu di Facebook, Presiden Umno itu memuat naik poster tertera harga daging bagi harga sekilogram ayam, kambing dan lembu, termasuk harga seekor katak yang bernilai puluhan juta bagi “seekor”.

Tindakan Ahmad Zahid itu menandakan bermulanya perang psikologi antara Umno dan Ahli Parlimennya yang dikatakan berdegil enggan mematuhi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat cuba memainkan sentimen harga diri dan maruah Ahli Parlimen terutama daripada Umno agar kembali mematuhi arahan parti dan tidak lagi berdolak dalih, sebelum usul undi percaya dibentangkan di Parlimen, September ini.

Katanya, bagi tempoh beberapa minggu ini, rakyat akan melihat sama ada tragedi “katak melompat” berulang sebagai mana melanda senario politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei 2018.

“Kena tahu sifat ‘katak” bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri.

“Sebab itu kita minta usul undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat disegerakan, sebelum ada lagi yang terperangkap, terpedaya atau terpesona sanggup menjadi ‘katak’,” katanya.

Katanya, beliau turut mengingatkan rakyat sedang menilai jika ada wakil rakyat yang menjadi ‘katak’ seterusnya.

“Rakyat tahu apa perlu dilakukan ke atas ‘katak-katak’ ini apabila tiba PRU-15,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Ahmad Zahid mengumumkan penarikan sokongan Ahli Parlimen Umno daripada kerajaan PN, yang menyaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah, meletakkan jawatan.

Setakat ini, hanya Shamsul Anuar sahaja berani berbuat demikian sebagai mematuhi arahan partinya, manakala menteri dan timbalan menteri Umno lain, masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

Selain itu, Umno Bahagian Kuala Kangsar, hari ini, memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid, mengikuti arahan parti menarik sokongan daripada kerajaan PN segera.

Mastura adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), yang dikatakan antara Ahli Parlimen Umno mempunyai kecenderungan menyokong Muhyiddin dan PN.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.