Sebahagian daripada individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti parti liar awal pagi tadi. - Foto IHSAN PDRM |
KUALA LUMPUR – Seramai 15 individu termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berhibur dikejutkan dengan kehadiran pihak polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ceylon, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Ketika serbuan dilakukan, pihak polis mendapati seramai 15 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun sedang berkumpul bagi mengadakan parti liar.
“Pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai kesan penggunaan dadah, alatan audio dan lampu disko malah ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati seramai 11 daripada mereka iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan adalah positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek juga didapati melakukan kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan aktiviti sosial dan akan direman sehingga 7 Ogos bagi membantu siasatan.
Foto : Ehsan Polis Dang Wangi |
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan menemui kesan penggunaan dadah selain pembesar suara dan lampu disko. |