Muhammad Qahir Thaqif Muhammad Adam, 9, menolong ayahnya Muhammad Adam Muhammad Amin, 32, untuk menggali kubur untuk dikebumikan. Gambar oleh NSTP / EFFENDY RASHID |
Sungai Buloh: Berkampung di tanah perkuburan membantu bapa menggali kubur sama sekali tidak menggentarkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ini, sekalipun ketika negara masih berperang dengan pandemik Covid-19.
Mungkin ramai beranggapan, Muhammad Qahir Thaqif Muhammad Adam sepatutnya mengisi masa senggang bersama keluarga dan rakan, namun tidak baginya yang mahu menimba pengalaman baharu, tambahan pula sesi persekolahan masih belum dibuka.
Menceritakan pengalamannya, Muhammad Qahir Thaqif berkata, dia membantu bapanya, Muhammad Adam Muhammad Amin, 32, menggali kubur sejak tahun lalu lagi di Tanah Perkuburan Masjid Jamek 2 (Masjid Kusta Lama) dan Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Buluh, di sini.
Katanya, dia banyak membantu dalam pengurusan jenazah bayi dan sehingga kini dia sudah menggali kubur untuk lebih 20 pengebumian jenazah bayi, tetapi bukan semuanya yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Muhammad Qahir Thaqif membantu bapanya, Muhammad Adam dalam urusan penggalian kubur. FOTO EFFENDY RASHID |
Setiap kali membantu menggali kubur, Muhammad Qahir Thaqif perlu menyarungkan pakaian perlindungan diri (PPE), bagaimanapun tugasnya hanya terhad untuk menggali dan menanam kubur semula sahaja serta tidak boleh mendekati jenazah.
"Lazimnya, tugas saya bermula dari jam 6 petang hingga 10 malam, walaupun panas tapi saya puas kerana dapat membantu, lagi pula besar pahalanya.
"Pernah juga saya mengajak rakan untuk ikut saya menggali kubur, tetapi mereka menolak kerana takut," katanya.
Sementara itu, bapanya, Muhammad Adam berkata, selepas mendapati anaknya mahir dalam pengurusan penggalian kubur, dia dan rakan tidak teragak-agak menyerahkan tugas itu kepada Muhammad Qahir Thaqif.
Katanya, sebelum ini ramai yang tidak percaya dengan kebolehan anaknya kerana usianya yang masih muda, sehingga mereka melihat sendiri Muhammad Qahir Thaqif menggali dan mengebumikan jenazah.
"Seperti yang sedia maklum, tanah perkuburan sering dikaitkan dengan cerita seram, namun anak saya tidak pernah takut untuk berada di kawasan perkuburan.
"Tanah perkuburan ini sudah diibaratkan seperti 'taman' untuk anak saya, bukan sahaja buat Muhammad Qahir (Thaqif), bahkan adiknya (Nur Qaireen Yusra, 6)," katanya.
Katanya, dia tidak pernah memaksa anak sulungnya itu untuk mengikut jejaknya, namun dia sebagai bapa dia gembira melihat anaknya rajin membantu tanpa banyak kerenah, apatah lagi ia fardu kifayah. - Hmetro
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.