Belajar hidup bersama pandemik

Kini pembebasan Dari pandemik sangat bernilai




SITUASI Covid-19 dunia selepas kemunculan varian Delta merisaukan kita. Di negara-negara maju yang mencapai peratusan vaksinasi tinggi seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Eropah, penurunan jangkitan menghampiri angka sifar tidak berlaku.

Di Britain, AS dan Israel pula, impian kerajaan masing-masing untuk melihat keadaan kembali seperti sediakala juga tidak berlaku.

Britain baru-baru ini mengisytiharkan ‘Hari Kebebasan’ dengan memansuhkan normal baharu yang menyaksikan tiada lagi peraturan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal atau larangan berkumpul.

Negara yang mencapai imuniti berkelompok itu bagaimanapun menyaksikan lonjakan kes Covid-19 berpunca daripada varian Delta. Purata kes harian di negara itu pada Julai lalu adalah lebih 20,000 kes dengan majoritinya disebabkan varian Delta, namun angka kematian menurun secara drastik.

Situasi serupa berlaku di sebuah lagi negara yang mencapai imuniti kelompok iaitu Israel. Israel sempat beberapa minggu menikmati kehidupan bebas daripada normal baharu.

Namun, kejayaan itu tidak dapat bertahan lama kerana penularan varian Delta. Situasi lebih teruk pula berlaku di Amerika Syarikat.

Varian Delta terus menular walaupun dalam kalangan mereka yang sudah mendapat pelalian lengkap.

Di sebalik kebimbangan yang dirasai, semua pihak termasuk orang ramai, majikan dan kerajaan harus belajar menerima hakikat. Hakikatnya adalah Covid-19 tidak akan ‘pergi’ dalam waktu terdekat, malah akan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Kita harus belajar untuk hidup bersama virus ini. Ibu bapa harus menekankan vaksinasi, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal supaya menjadi amalan dalam kehidupan harian anak-anak mereka.

Majikan harus belajar menjadikan bekerja dari rumah sebagai budaya kerja baharu dan memajukan teknologi berkaitan dengannya. Kerajaan harus melaksanakan paradigma baharu yang menumpukan kepada pembendungan pantas lokaliti penularan kes serius serta kematian, manakala jumlah kes harian bukan lagi sesuatu yang signifikan.

Kesinambungan hidup perlu diteruskan dan mata pencarian rakyat serta perjalanan dalam negara serta antarabangsa perlu dibuka semula. Rakyat tidak harus duduk di bawah perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan sehingga bertahun lamanya.

Kerajaan juga tidak mampu untuk terus memberi pakej bantuan dan menutup satu negara setiap kali varian baharu dikesan. Semua itu akan melumpuhkan ekonomi negara dan apabila ekonomi terjejas banyak perkara yang tidak sedap dilihat atau didengar berlaku.

Vaksin bukan satu-satunya senjata dalam memerangi pandemik kerana saintis-saintis sedang membangunkan ubat bagi Covid-19 yang kini memasuki ujian klinikal dan menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Selain itu, kajian dalam kejuruteraan genetik bagi memerangi Covid-19 turut dijalankan. – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.