Ketika perintah berkurung, kanak-kanak kurang berinteraksi dengan dunia luar, sekali gus membawa kepada perkembangan kognitif yang membimbangkan. |
PROVIDENCE, RHODE ISLAND – Satu kajian baharu mendapati bayi yang lahir ketika pandemik Covid-19 berpotensi mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang lebih rendah, lapor akhbar Daily Mail, semalam.
Pengesanan penurunan IQ itu dipercayai didorong oleh kekurangan interaksi bayi dengan dunia luar ketika perintah berkurung dilaksanakan.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Brown itu mendedahkan bayi yang lahir sejak Mac 2020 mempunyai kemahiran kognitif, lisan dan motor yang lebih rendah berbanding yang lahir sebelum wabak Covid-19.
Purata IQ untuk kanak-kanak berusia tiga bulan hingga tiga tahun turut jatuh daripada sekitar 100 sebelum pandemik kepada 79 ketika pandemik.
Penurunan itu pula adalah lebih buruk dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan mempunyai latar belakang yang miskin.
Menurut ketua penyelidik, Dr. Sean Deoni, faktor utama yang membawa kepada penurunan prestasi perkembangan kanak-kanak dalam kajian tersebut adalah tekanan yang dihadapi ibu bapa ketika bekerja dari rumah.
Selain itu, pemakaian pelitup muka turut memberi kesan kepada perkembangan bayi kerana mereka tidak dapat belajar daripada ekspresi muka.
“Kebimbangan terhadap jangkitan dan kehilangan pekerjaan telah menambah tekanan kepada ibu bapa, manakala bagi yang bekerja dari rumah, mereka berdepan dengan cabaran untuk bekerja dan menjaga anak,” katanya.
Tambah Deoni, apabila ibu bapa tertekan, interaksi dengan anak akan berkurang dengan ketara.
“Meskipun penurunan IQ pada peringkat awal tidak akan menjamin bahawa kanak-kanak tersebut kurang bijak pada masa akan datang, kemampuan untuk memperbetulkan keadaan itu menjadi semakin berkurang apabila kanak-kanak itu meningkat usia,” ujarnya. – AGENSI