Projek Lebuhraya Pan Borneo hampir 70% Siap - Fadillah

Tarikh siap sepenuhnya LPB Sarawak disasarkan pada September 2022 namun ekoran pelbagai kekangan termasuk pelaksanaan PKP.



SIBU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak kini sudah mencapai 69.6 peratus siap, menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata walaupun berdasarkan kontrak, tarikh siap sepenuhnya LPB Sarawak disasarkan pada September 2022 namun ekoran pelbagai kekangan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan pandemik COVID-19, kelewatan tidak dapat dielakkan.

"Kita hadapi kekangan seperti masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan serta isu kekurangan pekerja kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"(Selain itu) cabaran pematuhan SOP yang berbeza di lokaliti setiap Bahagian di Sarawak yang dirangka khusus juga menjadi antara kekangan, kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Fadillah berkata pada masa sama pihak pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
"(Bagaimanapun) kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak.

"Apabila LPB siap nanti rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisien serta peluang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di sektor pembinaan," katanya.


Pemandangan udara Pan Borneo Highway Sarawak yang telah siap dari Jalan Nyabau ke Simpang Bakun.
-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.