Individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 2 boleh makan di dalam restoran mulai Selasa. (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Kelonggaran diumumkan kerajaan bagi individu yang melengkapkan vaksinasi mereka dibuat terlalu awal, kata Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye.
Bekas timbalan menteri kesihatan itu berkata, lebih adil jika kelonggaran diberikan selepas semua orang yang mendaftar untuk menerima vaksin mendapat dos pertama mereka.
Sebilangan besar orang belum divaksin dan kelonggaran diumumkan hari ini mungkin mendedahkan mereka kepada virus Covid-19, katanya.
“Berdasarkan kadar vaksinasi kini, semua yang telah mendaftar akan disuntik dos pertama mereka dalam dua hingga tiga minggu akan datang. Kerajaan patut menunggu sehingga waktu itu untuk membuat pengumuman ini,” katanya kepada FMT.
Lee bimbang kes Covid-19 akan terus meningkat lebih tinggi seterusnya meletakkan mereka yang belum divaksin dalam risiko.
Terdahulu, kerajaan hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran untuk penerima vaksin penuh mulai 10 Ogos ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengakui ada sedikit risiko terhadap peningkatan kes harian, namun kerajaan mengambil kira kesan positif untuk mereka yang telah divaksin lengkap, selain kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental orang ramai.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal berkata tidak ada masa yang sesuai sebenarnya untuk kerajaan mengumumkan kelonggaran.
Katanya, negara melalui tempoh mencabar dalam menguruskan wabak, dalam pada sekatan dilaksanakan untuk tempoh lama.
“Sekatan pergerakan kini mengakibatkan kesan psikologi, sosial dan ekonomi yang tinggi. Bagi mengelakkan kelesuan pandemik, SOP perlu dilonggarkan di mana mampu dan dipertingkatkan apabila benar-benar diperlukan,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun menegaskan, sekalipun beberapa SOP diberi kelonggaran, langkah pengawalan jangkitan seperti memakai pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri masih amat penting.