Pada awalnya dia tertanya-tanya mengapa Siti Sarah memintanya berbuat demikian.
Mahu berehat pada Ogos petanda Siti Sarah 'berehat' selama-lamanya
PETALING JAYA – Ibu tiri kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi mendedahkan bahawa Siti Sarah pernah menyatakan hasratnya untuk berehat pada bulan Ogos dan tidak menyangka perkara itu benar-benar terjadi apabila penyanyi itu ‘berehat’ buat selama-lamanya.
Ujar wanita berusia 34 tahun yang yang mesra disapa Makde, arwah memberitahu perkara tersebut kepadanya sekitar Mei lalu apabila menyatakan hasrat mencari wajah baharu kempen promosi tiga produk keluarannya kerana ingin berehat pada bulan Ogos.
“Arwah Siti Sarah bercadang untuk berehat pada bulan Ogos. Perkara ini juga disedari oleh kakitangan syarikat.
“Tak sangka rupa-rupanya ‘rehat’ yang dimaksudkan itu membawa maksud arwah akan pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya,” kata Fatimah.
Fatimah yang ditemu bual menerusi program Wanita Hari Ini (WHI), semalam, turut mendedahkan bahawa arwah Siti Sarah juga telah meminta semua wang dalam akaun peribadinya untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.
IBU tiri Allahyarham Siti Sarah, Fatimah mengakui sudah tunaikan amanah terakhir penyanyi itu agar memberi sedekah sebanyak RM30,000 duit simpanannya kepada golongan memerlukan.
“Pada hari dia dibawa ke hospital, arwah mengirim mesej pada saya meminta untuk pindahkan semua wang dalam akaun peribadinya ke akaun bank saya.
“Saya tanya untuk apa transaksi ini sebab kedengaran pelik. Dia (arwah) maklumkan dia akan ke hospital untuk menerima rawatan tapi ketika sedang sakit dan sebelum ditidurkan, arwah minta saya untuk sedekahlan wang RM30,000 yang dimasukkan ke dalam akaun saya itu,” ujarnya.
Ujar Fatimah lagi, Allahyarham memberi bayangan akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya, namun perkara tersebut hanya disedari selepas pemergiannya, Isnin lalu.
“Alhamdulillah saya sudah tunaikan amanah yang diberikan untuk sedekah duit itu kepada insan yang memerlukan,” kata isteri Raissuddin Hamzah beremosi.
Dalam pada itu, Siti Fatimah yang juga rakan kongsi perniagaan menerusi syarikat Ratasya Empire Sdn Bhd yang beroperasi di Puchong, Selangor berkata, dia terkejut dengan sambutan luar biasa dan peningkatan jualan perniagaan sejak beberapa hari ini.
“Alhamdulillah peningkatan jualan sangat mengejutkan saya dan kakitangan. Bayangkan, ada ejen tidak aktif kembali rancak menambah produk selepas mendapat permintaan tinggi.
“Paling laris ialah jubah yang dipakai arwah. Kami ada menambah keluaran pada Aidiladha lalu dan permintaan sangat menakjubkan.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi, Isnin lalu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.
Arwah meninggalkan suami yang juga pelakon dan pelawak popular, Shuib dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.