Antibodi lemah boleh dapatkan dos 'booster' vaksin Pfizer |
WASHINGTON: Individu yang menjalani pembedahan pemindahan organ serta mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah boleh mendapatkan dos tambahan vaksin Pfizer atau Moderna.
Langkah itu bagi melindungi mereka daripada jangkitan varian Delta yang sedang merebak.
Perkara itu diumumkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) kepada beberapa juta rakyat AS khususnya yang terdedah kepada jangkitan kerana menjalani pemindahan organ, kanser tertentu atau masalah lain.
Beberapa negara lain seperti Perancis termasuk negara haram Israel turut mengikut langkah tersebut.
Satu kajian pernah mencadangkan kepada beberapa golongan individu menerima dos tambahan sebagai langkah penyelesaian perlindungan daripada wabak.
Hal ini kerana sistem kekebalan tubuh badan tidak dapat ditingkatkan akibat pengambilan ubat dan penyakit tertentu.
FDA menetapkan syarat bagi penerima dos ketiga mengambil suntikan itu selepas tempoh 28 hari daripada penerimaan vaksin kedua. -AP