Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, berpesan agar orang ramai lebih menghargai masa bersama ibu bapa tercinta sebelum semuanya terlewat.
Berkongsi coretan itu di Instagram (IG), katanya jangan sekali anak-anak memendam perasaan terhadap kedua ibu bapa atas kesilapan mereka kerana sebagai anak juga melakukan hal yang sama.
“Bila kita sakit, melalui fasa kesedihan dan pengalaman pahit dalam hidup, merekalah yang selalu berada di samping kita. Jadi selepas baca kenyataan saya ini hubungilah mereka dan katakan betapa kamu sangat menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
“Kadang kala kita gagal untuk berkongsi dan meluahkan perasaan dengan mereka. Cubalah… pasti hasilnya yang terbaik,” coretnya.
Dalam perkongsian sama, pelakon filem Gemilang itu turut mengimbas momen terindah bersama mendiang ibunya, Carmina Anciano Isaac yang telah meninggal dunia sejak sembilan tahun lalu.
“Hari ini pukul 7.15 pagi, kami kehilangan orang kuat dan tempat saya mengadu. Ketika kami semua berdepan saat getir, dia selalu berdiri kuat. Ayah seorang tentera laut, masa dia meninggal saya berumur 26 tahun.
“Waktu itu, ibulah yang mengendalikan keluarga dan saya berjanji selagi hayatnya di kandung badan, sesukar mana pun hidup saya tidak akan mengatakan tidak pada ibu saya. Dia tidak perlukan atau pinta banyak tapi saya sebagai anak tahu, saya tidak akan menyesali setiap momen kami bersama selepas pemergiannya.
“Saya merindui masakkannya lebih-lebih lagi selepas hari yang teruk saya lalui. Dia hanya duduk di samping sampailah saya habis makan. Tidak cakap banyak tapi hari itu membuatkan segalanya terasa lega,” imbaunya.
Mengakhiri coretan, Hans percaya mendiang ibu sudah meninggalkan pengajaran untuk menyatukan keluarga dalam apa rintangan sekali pun. Baginya, keluarga ada kekurangan tetapi pada akhirnya merekalah yang senantiasa di samping kita.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date