7 syarikat pengendali gudang dikenakan penalti berjumlah RM1.04 juta atas kesalahan menetapkan harga perkhidmatan pengendalian muatan panjang dan muatan berat kargo import serta eksport di Pelabuhan Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata, operator gudang terbabit melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana membuat perjanjian kartel penetapan harga melalui dokumen memorandum.
“Semua pihak terbabit telah mengemukakan representasi mereka di antara Disember 2020 dan Mac 2021 kepada MyCC.
“Setelah dipertimbangkan dengan teliti, MyCC membuat kesimpulan bahawa, tanpa keraguan, perlakuan semua pengusaha operator gudang ini merupakan pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.,” katanya dalam kenyataan.
Iskandar berkata, berdasarkan siasatan, mereka membentuk satu kartel dan berkomplot untuk menetapkan surcaj bagi perkhidmatan pengendalian muatan panjang dan muatan berat kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail |
Beliau berkata, kartel penetapan harga dianggap pelanggaran yang amat serius mengikut undang-undang persaingan dan ia perlu dihentikan bagi memastikan pengguna dilindungi.
Dalam serbuan yang sama, MyCC turut mendapati mereka membentuk suatu perjanjian kartel melalui dokumen ‘Memorandum Surcaj’ bertarikh 22 Mei 2017.
Menerusi memorandum tersebut, semua operator terbabit bersetuju untuk mengenakan harga yang dipersetujui mulai 1 Jun 2017.
Iskandar berkata, secara kolektif, jumlah besar denda tersebut adalah RM1,043,012.52, iaitu tidak melebihi 10% daripada nilai perolehan di seluruh dunia bagi setiap syarikat terbabit.
Dalam keputusan itu, MyCC juga mengarahkan semua pengusaha operator gudang berkenaan untuk menghentikan penglibatannya dalam perjanjian penetapan harga.
“MyCC juga mengarahkan penetapan caj berkaitan ditentukan secara bebas oleh semua operator selepas ini dan untuk masa hadapan,” katanya.