392 kes baharu di Sabah babitkan remaja, kanak-kanak dan bayi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, 1,728 kes dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 106,830 kes.




KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, sebanyak 392 daripada 1,728 kes baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini, melibatkan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah.

Katanya, 280 kes membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun, 103 kes melibatkan usia setahun hingga lima tahun manakala sembilan lagi adalah bayi berusia setahun ke bawah.

“Sementara itu, sebanyak 1,223 kes baharu adalah membabitkan individu berusia 18 hingga 59 tahun manakala 113 kes lagi membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Kota, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, 522 kes baharu dicatatkan juga membabitkan mereka yang telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 345 kes membabitkan individu yang telah menerima satu dos vaksin manakala 177 kes lagi yang telah lengkap dua dos vaksin.

“Sebanyak 814 kes baharu hari ini juga membabitkan mereka yang belum menerima vaksin manakala 392 kes lagi belum layak menerima vaksin,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 1,728 kes dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 106,830 kes.

Selain itu, katanya, sebanyak 15 kes kematian dilaporkan iaitu Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing mencatatkan lima kes manakala Sandakan, Penampang, Keningau, Tuaran dan Sipitang masing-masing mencatatkan satu kes.

“Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital hari ini ialah seramai 1,508 menjadikan jumlah kumulatif 89,704 orang.

“Seramai 5,131 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,181 orang di hospital, 3,903 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), 39 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala lapan di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit dalam ICU (unit rawatan rapi) pula ialah 196 orang dan 66 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.