Lepas tumbangnya kerajaan PN: Watak-watak utama

Lepas tumbangnya kerajaan PN: Watak-watak utama

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)




Kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam setelah 17 bulan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan dengan cara yang serupa, bakal menyaksikan sekali rundingan antara parti-parti politik bagi memilih perdana menteri baru.

Perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini mengeluarkan Bersatu daripada kerajaan PH bersama Azmin Ali dan sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah dalam "Langkah Sheraton", melalui nasib yang serupa apabila 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Setelah pengunduran Muhyiddin, watak-watak utama yang akan menentukan kerajaan seterusnya, kebanyakannya adalah muka yang sama melakukan 'rundingan pintu belakang' selama seminggu ketika Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Situasi sekarang sama seperti yang lepas apabila tidak ada satu pun gabungan yang memiliki majoriti yang kuat, kukuh dan meyakinkan.

Beberapa hari ini, keegoan masing-masing akan diuji, masa depan dan rundingan politik dipertaruhkan ketika parti-parti politik berusaha mengadakan kesefahaman bagi membentuk majoriti baru.

Inilah watak-watak utama yang akan berada di sebalik rundingan tersebut.

Zahid Hamidi dan Ismail Sabri

Sebelum ini terdapat usaha digerakkan untuk mengangkat Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai pengganti Muhyiddin.

Logiknya mudah: Sekiranya kerajaan PN dipertahankan dengan pucuk pimpinan Umno sedia ada, 15 ahli parlimen Umno yang diketuai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi harus memberikan sokongan. Dan ini bermakna status quo akan dapat dikekalkan.


Namun parti itu sedang berpecah belah. Jika Zahid menyokong pesaingnya iaitu Ismail, bekas timbalan perdana menteri itu akan bertambah kuat, dan bakal merugikan Zahid pada pemilihan parti itu nanti.

Zahid menggunakan kuasanya dengan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan calon perdana menteri dan tidak membiarkan Ismail menguasai keadaan.

Berdepan tuduhan rasuah, harapan Zahid untuk mengambil alih jawatan perdana menteri sukar namun dia berharap dapat meletakkan calon alternatif yang akan memihak kepada kepentingan kumpulannya - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

Berbanding pembangkang yang tidak bersatu, PN mempunyai peluang yang lebih cerah untuk membentuk majoriti kerana hanya kurang 11 ahli parlimen dan Zahid, yang dapat memberikan angka itu, memiliki kuasa tawar-menawar yang kuat.

Sekiranya PN menolak pilihan Zahid, presiden Umno itu masih boleh beralih kepada pembangkang.


Meskipun terdapat naratif "No DAP, NO Anwar", rentetan peristiwa beberapa bulan lalu menunjukkan Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim saling berhubung antara satu sama lain.

Namun, menyatukan pembangkang akan menjadi perkara yang lebih mencabar bagi Zahid memandangkan ia tidak bersatu dan bukan merupakan pilihan yang popular bagi kalangan akar umbi Umno.

Penyokong Anwar dan Harapan

Walaupun Pakatan Harapan bersatu menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri, sekutu-sekutunya iaitu Amanah dan DAP semakin berasa kecewa kerana dia masih belum berjaya mengumpulkan majoriti.

PH hanya mempunyai 88 ahli parlimen dan walaupun boleh menyatukan pembangkang, mereka hanya mempunyai 105 ahli parlimen.

Seramai 111 ahli parlimen diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dan terdapat 220 ahli parlimen dan dua kerusi yang kosong di Dewan Rakyat.


Namun kekurangan itu lebih ketara kerana parti pembangkang seperti Pejuang dan Warisan, yang secara keseluruhan memiliki 12 ahli parlimen, tidak bersedia untuk menyokong Anwar.

Sekutu PH masih ingat bagaimana sokongan kepada Anwar semasa Langkah Sheraton untuk mengenepikan Dr Mahathir Mohamad gagal setelah pemimpin PKR itu dia tidak dapat mengumpulkan sokongan dari anggota parlimen Malaysia Timur.

Sejak itu mereka mencadangkan pelbagai alternatif, termasuk melantik presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri.


Presiden Amanah Mohamad Sabu malah baru-baru ini mencadangkan ahli parlimen yang menang dengan tiket PH pada PRU lalu untuk kembali bersama gabungan itu - sesuatu yang sukar diterima buat pemimpin seperti Azmin Ali yang telah menentang Anwar.

PKR, bagaimanapun, tetap berdiri teguh di belakang Anwar dan belum menunjukkan kesediaan untuk mempertimbangkan sebarang alternatif.

Bekas pemimpin PKR yang lompat parti

Terdapat dua kumpulan bekas ahli parlimen PKR yang telah berpaling tadah yang perlu diperhatikan.

Kumpulan utama adalah mereka yang sangat kuat dengan sikap anti-Anwar dan tidak mungkin kembali kepada PKR, manakala yang lain sebelum ini melompat parti kerana mendapat tekanan dari PN.

Kumpulan ahli parlimen seperti Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar misalnya memilih untuk bersikap low profile berbanding bekas ahli parlimen PKR yang lantang menentang PH. Kumpulan ini kemungkinan lebih mudah menyokong PH sekali lagi.

Mahathir Mohamad

Sejak awal, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahatihir Mohamad menolak untuk menyokong kerajaan PN kerana penyertai Umno, di mana beberapa pemimpinnya menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.

Pemimpin yang sama adalah mereka yang menumbangkan kerajaan PN.

Mahathir pada awalnya menerima kerajaan tanpa "kleptokrat" namun wabak Covid-19 mengubah pendiriannya yang mahukan sebuah pentadbiran ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang memerintah negara ini selepas rusuhan 1969 hingga 1971.


Badan pentadbiran yang dikehendakinya itu terdiri daripada tokoh-tokoh yang bukan ahli politik, namun belum mendapat sokongan besar daripada parti-parti politik utama setakat ini.

Kerajaan PN mendendangkan naratif yang sama seperti yang dilakukan oleh Mahathir - untuk tidak bersekongkol dengan kleptokrat.

Sementara Pejuang mengambil pendirian yang lebih neutral sekarang, hal itu boleh berubah jika ada keperluan untuk menyekat kemaraan kumpulan Zahid.

GPS

Kerajaan PN sebahagian besarnya terdiri daripada empat blok utama, iaitu Bersatu, Umno, PAS dan GPS, dengan penyertaan parti-parti kecil lain dan ahli parlimen bebas.

Kecuali kem Zahid, Bersatu, PAS dan Umno secara umumnya menentang keras PH, terutama DAP.


Parti-parti berasaskan Melayu menggambarkan DAP sebagai anti-Melayu, sehingga sukar untuk bekerjasama.

Ini bermakna GPS adalah pilihan untuk PH ketika mereka menghadapi kekurangan anggota parlimen. Namun berulang kali, mereka masih gagal meyakinkan GPS.

Dengan PKR sangat lemah di Sarawak setelah siri melompat parti dan Amanah hampir tidak ada di negeri itu, DAP menjadi saingan utama dan hubungan di peringkat negeri pula bermusuhan.

GPS telah mengatakan akan terus menyokong PN. Meskipun sukar, GPS masih merupakan pilihan terbaik bagi PH jika ada parti dari blok PN yang beralih arah.

Watak lain

Berikutan pengunduran Muhyiddin, perbincangan mengenai kerajaan perpaduan telah diutarakan semula.

Namun cabaran utama yang akan diputuskan oleh parti-parti ini adalah - siapa yang akan memimpin?

Ini kerana terdapat dendam lama. Contohnya PAS secara terang-terangan mengatakan tidak mahu DAP dalam kerajaan.

Sekiranya kebuntuan politik ini berlanjutan, Yang di-Pertuan Agong mungkin diminta campur tangan untuk memberikan jalan atau memaksa mereka berdamai.

Ini mungkin menyaksikan calon yang sebelum ini bukan dianggap sebagai calon perdana menteri akan muncul.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.