Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ialah penderhakaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera kerana melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Pemuda UMNO mendesak Ahli Parlimen parti itu menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
"Pemuda UMNO memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan disengajakan, berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media dikeluarkan Istana Negara.
"Ternyata pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana diumumkan Menteri Undang-Undang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) di Parlimen pada Isnin lalu, amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Malah, kenyataan media Istana Negara juga mendedahkan kerajaan sengaja ingkar dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen, bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai parti menjadi benteng utama membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, kita tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan dipimpin Muhyiddin terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan, hari ini.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA |
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dipetik berkata, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana yang diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.
Dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin lalu, Takiyuddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin dipetik berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.