Kuala Lumpur: Kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat hari ini.
Petugas media dilihat mula 'berkampung' di rumah Perdana Menteri yang terletak di Bukit Damansara di sini, sejak 1 tengah hari ini.
Pemerhatian Bernama mendapati beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki pekarangan kediaman Perdana Menteri pada 1.30 tengah hari.
Dalam kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.