Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia (DPKM) 2.0

DPMK 2.0 menggariskan tiga matlamat untuk kesejahteraan pemakanan rakyat.



DPMK 2.0 garis 3 matlamat, 13 strategi dibentuk




PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tiga matlamat dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 (DPKM 2.0) adalah untuk meningkatkan status pemakanan, mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dan memperkukuhkan sekuriti makanan serta pemakanan.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat DPKM 2.0, 13 strategi dibentuk untuk memastikan kesejahteraan pemakanan rakyat Malaysia.

"Kesemua strategi dirangka itu bersifat menyeluruh bagi memenuhi tiga matlamat DPKM 2.0," katanya ketika melancarkan DPKM 2.0 secara maya hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM); Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

DPKM 2.0 diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun lalu.

Muhyiddin berkata, DPKM 2.0 adalah iltizam kerajaan untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan masyarakat melalui tiga matlamat terbabit.

Perdana Menteri berkata, pemakanan sihat menjadi kunci kepada kesihatan yang baik manakala makanan menjadi asas kepada keperluan kehidupan.

Beliau berkata, pembangunan sosio-ekonomi yang pesat di Malaysia termasuk perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan memberi kesan kepada kesejahteraan pemakanan dan pola penyakit dalam masyarakat.

DPMK 2.0 menggariskan tiga matlamat untuk kesejahteraan pemakanan rakyat. - Foto hiasan

Katanya, ia menyebabkan negara berhadapan masalah beban berganda malpemakanan dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat usia dan masalah kekurangan pemakanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Muhyiddin berkata, masalah malpemakanan adalah satu krisis kesihatan sejagat terutamanya ketika seluruh dunia berdepan pandemik COVID-19 termasuk negara ini.

Beliau berkata, selain daripada beban penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada pemakanan seperti diabetes dan darah tinggi, Jabatan Perangkaan menganggarkan pada tahun 2030, Malaysia akan mencapai status 'negara tua' dengan 15.3 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Katanya, seiring dengan dasar digubal, kerajaan melalui KKM akan menyemak semula Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025, yang menyokong strategi DPKM.

"Isu pemakanan utama negara seperti sekuriti makanan dan pemakanan juga dintegrasikan dalam Dasar Agromakanan (DAN) 2.0 manakala KKM juga mengetuai Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan bawah Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikannya," katanya.

Beliau berkata, isu berkaitan sekuriti makanan dan pemakanan terutama sewaktu bencana antara perkara yang turut diberi perhatian serius kerajaan.

"Dengan semakan dasar ini juga, kerajaan berhasrat melahirkan generasi sihat melalui kesejahteraan pemakanan daripada usia muda.

"Sehubungan dengan itu, bagi memerangi masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, satu jawatankuasa bersama membabitkan pelbagai agensi pemegang taruh yang berkaitan akan ditubuhkan dalam waktu terdekat," katanya.

Sementara itu, Dr Adham dalam ucapannya, berkata usaha untuk menyemak semula DPKM 2.0 dilakukan kumpulan kerja teknikal dasar pemakanan di bawah Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan untuk makanan dan pemakanan dianggotai wakil kementerian serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.