PENDUDUK menunjukkan lalat yang diperangkap di Kampung Tualang, Beruas hari ini. |
LUMUT: “Setiap hampir dua bulan sekali, mesti lalat ‘serang’ kami sampaikan ada masa nak makan pun susah, belum sempat suap nasi, lalat dulu dah masuk dalam mulut”.
Demikian cerita Rashid Leman, 51, salah seorang daripada hampir 800 penduduk Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul, Beruas dekat sini, yang menghadapi masalah gangguan lalat tidak berkesudahan sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Dia dan penduduk di dua kampung itu percaya masalah itu berpunca daripada perusahaan penternakan ayam yang masih menggunakan kaedah sistem terbuka, terletak kira-kira 600 meter dari penempatan penduduk.
Terdapat hampir 600 penduduk tinggal di 106 rumah di Kampung Tualang dan kira-kira 200 penduduk tinggal di 33 kediaman di Kampung Buruk Bakul.
Menurut Rashid, masalah gangguan lalat akan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga minggu setiap 45 hari iaitu selepas perusahaan yang memiliki 16 reban itu menjual ayamnya dalam tempoh tersebut.
Rashid kadangkala meletakkan sehingga 10 perekat perangkap lalat sekeliling rumah setiap hari tetapi gangguan lalat tetap berlaku seolah-olah serangga itu membiak setiap masa.
“Adik-beradik dan saudara-mara pun tidak mahu datang ke sini dan kalau datang pun mereka tidak selesa mahu menjamah makanan, malah pernah orang luar datang keluar kereta sekejap terus masuk balik dalam kenderaannya apabila dihurung lalat,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Amir Kasim, 47, pula memberitahu, penduduk sudah berjumpa pengusaha ternakan ayam itu dan individu tersebut mendakwa sudah melakukan tindakan tertentu bagi mengurangkan masalah tetapi keadaan tetap tidak berubah.
Menurutnya, ternakan ayam itu mula beroperasi pada 1986 dan ketika itu rumah penduduk tidak sebanyak sekarang yang mana perusahaan sudah tidak sesuai lagi berada di kawasan kampung tersebut.
“Sudah tiba masanya perusahaan itu berpindah sekurang-kurangnya 10 kilometer dari penempatan penduduk, cubalah pemilik itu bina reban di belakang rumahnya, dia pun pasti tidak sanggup.
“Sampai bila kami mahu terus hidup sambil ‘dihurung’ lalat, kita bimbang akan mendatangkan lebih banyak kesan termasuk kesihatan jika berterusan berada dalam situasi begini,” katanya.
Bagi Hamzah Md Nor, 62, pula masalah dihadapi bukan sahaja gangguan lalat tetapi juga bau busuk najis ayam terutama hari hujan kerana rumahnya yang paling hampir dengan kawasan reban tersebut iaitu pada jarak kira-kira 600 meter.
Ketua Kampung bagi kedua-dua kampung itu, Abu Hassan Abdullah, 68, berkata, isu tersebut sering menjadi agenda utama setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), mesyuarat parti politik serta dengan agensi kerajaan lain.
Jelasnya, aduan juga sudah diajukan banyak kali kepada wakil rakyat, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pelbagai agensi lain.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh mengesahkan MPM ada menerima aduan berkaitan perkara itu dan telah melaksanakan semakan bersepadu dengan JPV Daerah Manjung selaku agensi utama pengawalan lesen ternakan haiwan.
“Kami juga membuat semakan lapangan berhubung operasi reban ayam ini dan telah mengambil langkah untuk memberi notis serta tempoh penambahbaikan pengurusan reban dalam tempoh ditetapkan bagi kawasan yang telah mendapat lesen JPV. Sebanyak 26 notis dikeluarkan termasuk di kawasan aduan yang dimaksudkan,” jelasnya.
Menurutnya, MPM turut mengesyorkan supaya tindakan penguatkuasaan diambil oleh JPV bagi membendung isu dan aduan yang berpunca dari aktiviti perladangan ayam di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005 yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan termasuk tidak memperbaharui lesen bagi pengusaha yang gagal mematuhi syarat.
Tegasnya, MPM menyarankan agar JPV sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung bagi pengeluaran permit perladangan ayam dan enakmen yang berkaitan mengambil langkah terhadap isu yang dibangkitkan oleh awam.
“Tindakan perundangan terhadap penternak ayam dengan tidak membaharui lesen bagi tahun 2022 atau mewajibkan penternak ayam mematuhi enakmen dan memastikan kaedah amalan penternak baik harus dilaksanakan oleh pemain industri penternakan,” katanya.