China lapor 76 kes baru COVID-19, kenaikan harian tertinggi sejak Januari

Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 besar-besaran di wilayah Nanjing, China. - Foto AFP



BEIJING: China melaporkan 76 kes baru COVID-19 pada Ahad (25 Jul), naik daripada 32 kes sehari sebelumnya, sedang bandar Nanjing memulakan ujian kedua secara besar-besaran.

China mengambil pendekatan yang tidak bertolak ansur terhadap jangkitan COVID-19, dengan pantas mengesan dan menguji ramai penduduknya untuk mencegah penularan virus tersebut.

Jangkitan tempatan membentuk 40 daripada kes-kes baru, berbanding hanya lima pada hari sebelumnya, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam kenyataannya pada Isnin (26 Jul).

Sebanyak 39 kes tempatan dilaporkan di wilayah timur Jiangsu dan satu di wilayah timur laut Liaoning, menurut kenyataan suruhanjaya tersebut.

Nanjing, ibu kota wilayah Jiangsu, melaksanakan ujian kedua asid nukleik ke atas 9.3 juta penduduknya pada Ahad, lapor China Daily pada Isnin.


Nanjing lancar ujian kedua berskala besar selepas China lapor 76 kes baru COVID-19 (Gambar: AFP)
Bandar tersebut turut menaikkan tahap risiko COVID-19 ke paras lebih tinggi di salah sebuah daerah, sambil mengubah kawasan lain ke tahap risiko sederhana, lapor akhbar itu lagi. Langkah itu dilakukan setelah ia menggantung khidmat kereta api bawah tanah dan mengambil langkah-langkah lain untuk mengawal penularan kelompok baru.


Sebilangan besar kes positif pada pusingan ujian pertama minggu lalu adalah di kawasan yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Lukou, menurut akhbar itu, sambil memetik Suruhanjaya Kesihatan Nanjing.


Jumlah kes baru tanpa gejala - yang tidak diambil kira oleh China sebagai kes yang disahkan - meningkat kepada 24 daripada 17 kes sehari sebelumnya.

Jumlah kes COVID-19 yang disahkan di tanah besar China kini sebanyak 92,605, dengan jumlah kematian kekal pada 4,636 orang.

- Reuters/TQ/tq

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.