KKM nafi keluarkan kad vaksinasi |
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan sebarang kad vaksinasi dengan kod QR berbentuk fizikal setakat ini.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, malah pihaknya tidak membuat sebarang perolehan kepada mana-mana pihak atau syarikat berhubung pengeluaran kad vaksinasi.
Jelasnya, kekeliruan timbul selepas berita mengenai kad vaksinasi atau vaccination badge disiarkan menerusi portal Yahoo News bertajuk ‘QR code on Health Minister’s vaccine badge links to random man’s SoundCloud’.
“Laporan berita itu yang mendakwa kad vaksinasi tersebut dikeluarkan Kementerian Kesihatan adalah tidak benar.
“Kad vaksinasi dan kod QR yang digunakan dalam sidang media pada 17 Mac lalu adalah hanya sampel reka bentuk kad vaksinasi untuk ditunjukkan kepada wartawan dan jurugambar,” katanya hari ini.
ANTARA sebahagian penerima vaksin warga emas hadir pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Setiu. |
Buat masa ini katanya, sijil digital vaksinasi untuk mereka yang lengkap dua dos vaksin boleh diakses menerusi aplikasi MySejahtera.