BAVARIA: Dua belas pekerja pos di Jerman mendapatkan rawatan di hospital dan berpuluh-puluh lagi dibawa keluar dari pejabat pos di bandar Schweinfurt, di sini.
M ereka dikatakan menerima rawatan perubatan kerana loya atau mabuk setelah menghidu aroma bau yang kuat daripada bungkusan berisi buah durian dalam kejadian kelmarin.Difahamkan, pegawai polis, pasukan bomba dan pasukan perubatan kemudian di panggil ke pejabat pos berkenaan untuk memeriksa bungkusan itu.
Akibat bungkusan buah yang mencurigakan, polis terpaksa membawa keluar semua orang di dalam bangunan. Kira-kira 60 pekerja diminta untuk keluar sebelum polis dan pegawai bomba membuka bungkusan itu.
Kekecohan berlaku apabila seorang daripada kakitangan pejabat pos itu curiga kerana terhiduu bau yang amat asing buatnya.
"Oleh kerana kandungan bungkusan itu tidak diketahui dan tidak jelas, ia dianggap sebagai barang berisiko tinggi," kata kenyataan polis Schweinfurt seperti dipetik portal berita antarabangsa CNN.
Pihak berkuasa kemudian mengarahkan bangunan tersebut dikosongkan. Seramai 60 pekerja juga dipindahkan sebelum bungkusan tersebut diperiksa dengan lebih teliti.
Setelah siasatan dibuat, ternyata bungkusan tersebut mengandungi empat buah durian dari Thailand. Ia milik seorang penduduk Schweinfurt - berusia 50 tahun - yang mahu mengirim 'raja buah' itu kepada rakannya di Nuremberg.
Polis juga berkata, 12 pekerja yang mendapatkan rawatan di hospital itu mengadu loya. Enam yang lain pula dibawa ke hospital tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
Kejadian bungkusan berisi durian bukanlah pertama kali berlaku di Jerman.
Tahun lalu, perpustakaan di Universiti Canberra terpaksa dikosongkan kerana didakwa kebocoran gas dan hasil carian kemudiannya mendapati bahawa bau itu datang dari buah durian.
Sebelum ini, program realiti Fear Factor pernah menampilkan durian sebagai salah satu makanan yang mesti ditelan oleh peserta. Biasanya peserta dikehendaki memakan haiwan atau unggas yang menjijikkan. - AGENSI