Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu wabak COVID-19 di Sarawak, yang berpunca daripada rakyat Malaysia yang melancong ke Itali, yang setakat ini meragut nyawa lima mangsa.
Kluster berpunca daripada pesakit ke-1,580 itu, dikesan menjangkiti 37 kes lain termasuk lima kematian iaitu kes ke-1,031; ke-1,032; ke-1,006; ke-2,850 dan ke-2,210 serta seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan dalam unit rawatan rapi (ICU).Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan kluster berpunca ‘kes import’ yang sebelum ini dibimbangi bakal mencetuskan gelombang baharu itu, kini membabitkan jangkitan sehingga generasi ketiga.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 180 negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan COVID-19.
“Justeru, sememangnya wujud risiko bagi kes-kes COVID-19 luar negara diimport dan mengakibatkan penularan di dalam negara.
“Selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang disediakan.
“Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan bagi mengesan demam dan gejala COVID-19, manakala ujian pengesanan akan dijalankan serta mereka dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.
Rentetan kluster kes import sedemikian, Dr Noor Hisham menegaskan supaya masyarakat memberikan maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19.
Selain itu, katanya, maklumat berkaitan perjalanan ke luar negara atau pernah terbabit dalam sebarang perhimpunan yang diumumkan kementerian sebagai berkait rapat dengan jangkitan COVID-19, tidak wajar disembunyikan daripada petugas kesihatan.
"Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang dikenal pasti untuk pemeriksaan dan rawatan.
"Mereka yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital dikenalpasti untuk tujuan pengasingan, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan.
"Ini adalah untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 kepada masyarakat dan seterusnya membendung wabak COVID-19 di Malaysia," katanya.
Mengemukakan status terkini COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan empat pertambahan kes kematian berkaitan wabak berkenaan sehingga kini, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban meningkat kepada 61 orang atau 1.67 peratus.
Beliau berkata, kes kematian ke-58 (kes ke-2,210) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi, selain sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-1,031.
"Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 1.37 tengah hari.
"Kes kematian ke-59 (kes ke-3,484) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 3.40 petang.
"Kes kematian ke-60 (kes ke-3,073) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 12.39 tengah hari tadi.
"Kes kematian ke-61 (kes ke-2,200) pula ialah lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 9.36 malam," katanya.
Hasil rawatan, Dr Noor Hisham memaklumkan 90 kes disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih berikutan wabak terbabit ialah 1,005 orang atau 27.44 peratus.