Akui tertekan dengan PKP kehabisan wang dan tidak dapat pulang ke kapit, penganggur nekad terjun bangunan hotel

Lelaki bertindak di luar kawalan apabila terjun dari tingkat satu bangunan hotel Jalan Foochow, Sibu awal pagi. - Ihsan Polis
Akui tertekan dengan PKP kehabisan wang dan tidak dapat pulang ke kapit, penganggur nekad terjun bangunan.

SIBU: Seorang lelaki yang gagal menanggung tekanan kerana tidak dapat balik ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertindak di luar kawalan apabila terjun dari tingkat satu bangunan hotel bajet di Jalan Foochow, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun yang juga seorang penganggur, mengalami luka di bahagian dahi kiri selepas terjun dari ketinggian 15 meter.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata lelaki terbabit dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas kehabisan wang dan tidak dapat balik ke kampungnya di Kapit.


“Polis menerima panggilan daripada orang awam mengatakan seorang pelanggan sebuah hotel bertindak terjun melalui tingkap tingkat satu hotel terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan serta terbaring di bahagian belakang bangunan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, mangsa berada dalam keadaan stabil tetapi sedikit agresif ketika dibawa ke Hospital Sibu dengan menggunakan ambulans.

“Lelaki terbabit mendaftar untuk tinggal di hotel itu pada 3 April lalu dan sepatutnya mendaftar keluar hari ini.


“Sebelum kejadian, mangsa bercakap dengan saksi dalam keadaan resah dan kesal kerana tidak dapat balik kampung serta kehabisan wang sejak tiba dari Bintulu, malah dia meminjam telefon untuk menghubungi rakannya bagi meminjam wang,” katanya.

Katanya, selepas meluahkan keresahannya kepada saksi itu, tiba-tiba mangsa meluru ke tingkap bahagian belakang.


“Tidak lama selepas itu, saksi terdengar seperti bunyi orang mengerang kesakitan sebelum mendapati mangsa sedang terbaring.

“Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa terjun melalui tingkap di bahagian belakang tingkat satu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana mencuba melakukan kesalahan membunuh diri.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.