CEMBURU PUNCA LETUPAN BOM DI KG. BARU SUBANG


POLIS PERCAYA CEMBURU PUNCA LETUPAN BOM DI KG. BARU SUBANG

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata polis percaya cemburu adalah motif kejadian itu selepas menyoal siasat bekas anggota tentera itu, 50, yang ditahan di Pangsapuri Pahlawan 2 Taman Tun Perak, di sini, semalam.

Beliau berkata kenalan lelaki isteri suspek berkenaan adalah sepupu kepada mangsa, Chong May Lun, 40 yang hampir maut apabila sebutir bom tangan meletup di bawah keretanya semasa melalui Kampung Baru Subang pagi semalam.

“Suspek menuduh sepupu kepada mangsa membawa lari isteri suspek dan polis percaya individu yang meletakkan bom itu mempunyai niat untuk mencederakan sepupu mangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Letupan itu menyebabkan bahagian bampar belakang kereta Toyota Vios beliau tertanggal dan serpihan bom itu menembusi but dan tempat duduk belakang.

Mengenai tangkapan suspek berkenaan, Junaidi berkata polis menahan lelaki itu 15 jam selepas insiden letupan itu berlaku dan turut dirampas ialah dua buah telefon bimbit, dua sim kad telefon serta dua kereta, jenis Myvi dan Honda Civic.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.