ABU DHABI 18 Mei - Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan membina sebuah kompleks masjid di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur sebagai satu hadiah terhadap hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara itu.
Perkara itu direalisasikan menerusi satu perjanjian yang dimeterai di Istana Mushrif di sini hari ini antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Pihak Berkuasa Hal Ehwal Islam dan Wakaf UAE, Awqaf sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara ini.Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tiba di sini atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan yang juga Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian tersebut. Pada majlis tersebut, IMDB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hazem Abd. Rahman manakala Awkaf oleh Pengerusinya, Dr. Hamdan Musallam Al Mazrouei.
Dalam kenyataan di sini, 1MDB selaku pemaju induk Bandar Malaysia memberitahu, pihaknya bakal menyediakan tapak untuk masjid tersebut manakala Awqaf terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan masjid.
Katanya, reka bentuk masjid berkenaan diilhamkan dari Masjid Besar Sheikh Zayed di sini termasuk melibatkan pembinaan pusat pembelajaran Islam berasaskan teknologi dan pusat pendidikan Permata bagi kanak-kanak yang berbakat.
Kenyataan itu turut memetik Perdana Menteri sebagai berkata: "Hadiah ini amat memberi inspirasi kerana Masjid Besar Sheikh Zayed menggalakkan konsep toleransi, kasih sayang dan persefahaman ke arah interaksi yang positif.
"Ini merupakan bukti hubungan kukuh yang telah sedia terjalin di antara Malaysia dan Abu Dhabi dan akan mengeratkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara," ujarnya.
Sementara itu, Hamdan Musallam berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi misi mereka mempromosikan konsep toleransi dan kesedaran terhadap kesederhanaan ajaran Islam menerusi pembinaan masjid dan pusat pendidikan.
"Adalah menjadi hasrat kami untuk bekerjasama dengan 1MDB bagi mewujudkan pusat yang dapat menyediakan keperluan masyarakat," katanya.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Masjid Besar Sheikh Zayed dibangunkan daripada nilai-nilai kebudayaan dan kebangsaan yang telah dipelihara dan dipupuk oleh Almarhum Sheikh Zayed Sultan Al
Nahyan yang menekankan sikap saling hormat-menghormati, toleransi dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Bandar Malaysia terletak tiga kilometer dari Tun Razak Exchange (TRX) dan melibatkan pembangunan semula lapangan terbang lama Sungai Besi yang merupakan pembangunan bercampur yang bakal menggalakkan pendekatan kesesuaian didiami sebagai ciri-ciri urban tersendiri bagi Greater KL.
Dibina di atas tanas seluas 198 hektar, Bandar Malaysia akan mengetengahkan prasarana hijau, perumahan mapan dan pelbagai kemudahan perniagaan serta gaya hidup.