Kuala Lumpur: Tujuh puluh satu hari telah berlalu tetapi khabar angin mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 masih ‘berlegar’ dalam ruang media.
Yang terbaharu ialah berpandukan Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang didakwa tidak pernah dibincangkan sejak kehilangan pesawat dan oleh kerana ia tidak pernah memancar apa-apa isyarat, timbul spekulasi bahawa MH370 tidak terhempas di selatan Lautan Hindi dan masih dalam keadaan baik.ELT ialah suar (api isyarat) kecemasan yang digunakan dalam pesawat bagi pihak berkuasa penyelamat berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi petunjuk tentang lokasi dan jenis pesawat yang mengalami masalah.
Tak hantar isyarat
Dalam temubual eksklusif dengan BERNAMA, bekas Ketua Juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata walaupun pelik bahawa ELT MH370 tidak menghantar apa-apa isyarat, seseorang harus faham bahawa ELT akan memancarkan isyarat bergantung kepada hentaman.“Sudut hentaman amat penting untuk membolehkan alat itu aktif secara automatik. Sebab mengapa mereka mempunyai petunjuk hentaman tertentu ialah supaya apabila pesawat membuat pendaratan dalam situasi sukar di landasan, ELT tidak akan berfungsi.
“Jika ELT benar-benar sensitif, setiap kali pesawat hendak membuat pendaratan dalam situasi sukar, ELT akan aktif secara automatik. Oleh itu, ia memberi nilai prapenentuan untuk alat itu berfungsi,” beliau menjelaskan.
Beliau berkata dalam insiden pesawat Air France (AF), ELT tidak aktif dan pesawat itu terhempas pada kelajuan perlahan, kira-kira 100 kilometer sejam, dan tidak memberi tindak balas yang mencukupi untuk mengaktifkan ELT.
ELT direka khusus untuk aktif secara automatik akibat ledakan tertentu seperti hentaman atau tersentuh dengan air, serupa seperti alat pengesan kotak hitam.
“Walaupun pesawat (Air France 447) tersentuh air, tetapi ia kemudian tenggelam, isyarat tidak dipancarkan. Sentuhan air akan menjejaskan jarak, trajektori, daya kekuatan ELT. Oleh itu, jarak pemancaran ELT mungkin terbatas akibat air,” kata beliau dan menambah bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) yang memancarkan isyarat.
Menurut Nik Ahmad Huzlan, sebelum AF447 terhempas ke dalam Lautan Atantik, pelbagai isyarat dipancarkan oleh ACARS kerana ia telah mengesan satu demi satu kerosakan yang memudahkan lokasi pesawat di dasar laut dikesan.
Beliau menjelaskan bahawa ELT tidak berkaitan dengan alat transponder pesawat sambil berkata ia berfungsi sendiri dan jangka hayat bateri boleh bertahan hanya 48 jam selepas aktif secara sendiri kerana isyaratnya yang kuat dan keupayaannya dikesan dari jarak jauh, tidak seperti isyarat ping.
BERNAMA