Dua lelaki misteri yang menggunakan pasport pihak lain bernama Maraldi dan Kozel didapati membeli tiket secara bersama melalui wakil syarikat penerbangan China Southern.
Perkara itu disahkan oleh pihak China Southern kepada koresponden Daily Telegraph di Beijing, Malcolm Moore. Kewujudan dua penumpang misteri itu menjadi antara topik penting yang dipantau banyak pihak dalam insiden kehilangan MH370.Pasport yang digunakan kedua-dua lelaki misteri berkenaan adalah milik warga Austria dan Itali. Selain itu, sebuah blog mendakwa, dua lelaki misteri yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport lelaki Itali dan Austria merupakan masyarakat Uighurs dari wilayah Xinjiang yang berjuang untuk memisahkan diri pemerintahan China dan mereka memang dikenali memiliki rupa paras menyamai masyarakat Eropah.
“Mereka menempah tiket mereka menggunakan China Southern Airlines, mereka sudah pasti dapat melepasi pemeriksaan di lapangan terbang dengan mudah kerana memiliki rupa paras menyerupai lelaki pemegang pasport yang asal,” katanya. Blog itu mendakwa, kehilangan MH370 mungkin berkaitan dengan serangan pemisah Uighurs yang menyerang stesen keretapi Kunming pada 2 Mac lalu yang menyaksikan 33 orang terbunuh manakala 140 lagi cedera.
Kehilangan penuh misteri MH370 menyebabkan ramai pakar penerbangan dunia melihat serangan pengganas sebagai salah satu aspek penting. Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam awal Sabtu lepas dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Perhubungan terputus selepas komunikasi menara kawalan di Subang menyerahkan komunikasi pesawat MH370 kepada menara kawalan udara di Ho Chi Minh City, Vietnam kerana pesawat itu sudah menghampiri ruang udara Vietnam dalam penerbangan ke Beijing, China.