PUTRA Norhafiz mempunyai selera tinggi terhadap makanan seperti ayam dan burger.
|
‘Tiada orang mahu kahwin orang gemuk’
“Pelbagai usaha saya dan suami lakukan bagi memastikan dia tidak terus melayan nafsu makan terutama ketika menonton televisyen. Bimbangkan berat badannya yang berlebihan, kami mengambil keputusan berjumpa pakar pemakanan bagi mendapatkan nasihat, selain mengubah aktiviti hariannya dengan mengajak dia melakukan aktiviti sukan,” kata pemilik restoran di ibu negara Elfitrawati Awang, 42, yang mempunyai anak lelaki dengan berat badan berlebihan, Putra Norhafiz Ilias, 7.
Putra Norhafiz memiliki berat mencecah 54 kilogram.
Menurutnya, suaminya Ilias Awang, 48, sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada Putra untuk menurunkan berat badan ketika anaknya itu memasuki usia lima tahun.
Katanya, ketika itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu memiliki berat badan mencecah 57 kilogram selepas dipercayai mempunyai selera tinggi terhadap makanan seperti ayam dan burger.
“Dengan berat badan menyamai orang dewasa, Putra mengalami gangguan pernafasan terutama ketika tidur. Bimbang dan kasihan dengan keadaannya, kami perlu membantunya supaya dia tidak terus melayan nafsu makan saja menyebabkan kami memaksanya bersukan walaupun pada awalnya dia agak malas.
“Sejak itu, saya nampak perubahan dirinya walaupun selera makannya masih sama. Yang penting dia tidak lagi jadi pemalas dan semakin rajin membantu saya di kedai selain sering mengajak ayah dan adik beradik bermain badminton dan sepak takraw,” katanya.
Elfitrawati berkata, bagi ibu bapa yang mempunyai anak obesiti, mereka tidak sepatutnya membiarkan anak menjadi pasif atau hanya berkurung di rumah dengan memberikan mereka apa saja makanan.
“Pada awalnya memang sukar tetapi kita tidak boleh berputus asa jika mahu melihat anak sihat. Jika tidak, rasanya semakin bertambah berat badan mereka mungkin mendapat pelbagai penyakit kerana pergerakan yang terbatas,” katanya.
Menurutnya, faktor suaminya yang sentiasa bergurau dengan menyatakan ‘tiada orang mahu berkahwin dengan orang gemuk’ menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya itu berusaha menurunkan berat badannya.
“Syukur selepas memasuki sekolah, berat badan Putra susut tiga kilogram. Dia juga aktif bermain bola sepak, badminton dan takraw selain membantu saya di kedai dengan mengambil pesanan pelanggan dan membasuh pinggan mangkuk,” katanya.
Menceritakan bagaimana berat badan anaknya berlebihan, Elfitrawati berkata, ia berlaku selepas doktor menyarankan supaya menukar susu formula ketika anaknya itu berusia tiga tahun.
“Sejak itu selera makannya semakin bertambah tetapi ia semakin menjadi-jadi selepas dia berhenti meminum susu kerana setiap hari hanya mahukan ayam goreng.
“Dia akan menangis atau memberontak jika kami tidak menyediakan ayam dalam hidangannya dan keadaan itu menyebabkan kami buntu dan terpaksa mengikut kemahuannya,” katanya.
Elfitrawati berkata, pada masa kini dia berusaha mengubah menu Putra mengikut nasihat doktor dengan mengurangkan pemberian makanan berlemak dan berasaskan ayam.
Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan seorang budak lelaki berusia lima tahun Mohammad Danish Asyraaf mempunyai berat badan melampau iaitu 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan yang kuat hingga menjejaskan kecergasannya selain terpaksa tidur dalam keadaan duduk.