Kemenangan Keajaiban besar Hafiz di AIM 20

HAFIZ menang besar.

Di sebalik teka-teki mengenai proses rakaman album Luahan Hati Anak Seni dibuat di mana, penyanyi bersuara hebat Hafiz Suip membawa pulang kemenangan besar apabila membolot tiga trofi pada Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) malam kelmarin di Stadium Tertutup Putra, Bukit Jalil.

Mendominasi pencalonan kali ini, penyanyi Bahagiamu Deritaku itu turut dinobatkan penerima trofi utama Album Terbaik selain mengukuhkan lagi kuasanya mengungguli kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) serta Rakaman Album Terbaik.

Seperti sudah boleh diduga akan pulang bergaya pada AIM20, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu nampaknya tidak kelihatan riak dan nyata menyifatkan kemenangan itu sebagai keajaiban buatnya.

“Syukur atas kemenangan ini dan kali pertama menang di AIM ia amat bermakna, usaha keras saya sebelum ini akhirnya terbayar. Mengejutkan terutama sekali sewaktu diumumkan menerima kemenangan pertama menerusi Rakaman Album Terbaik padahal calon lain pun bukan calang-calang hebatnya.

“Saya dedikasikan trofi ini buat semua yang terbabit dalam merealisasikan impian saya dan tidak henti menyokong. Ini rezeki yang tak boleh dilupakan dan kemenangan ini saya jadikan cabaran untuk menjadi lebih terbaik lagi,” katanya.


Hadir sama pada sidang media sejurus tamat acara berkenaan, LY menyifatkan kemenangan Hafiz amat bertepatan dan sempat menyangkal pembikinan album terbabit dibuat di Indonesia.

“Sewaktu diminta mencipta lagu Bahagiamu Deritaku, saya tidak tahu Hafiz yang akan menyanyikan lagu berkenaan. Saya bersyukur lagu itu diberikan padanya dan memang mengagumi kekuatan vokalnya yang hebat.

“Mengenai pembikinan album Luahan Hati Anak Seni, beberapa lagu yang didakwa dibuat di Indonesia sebenarnya dilakukan sepenuhnya di studio saya di sini,” jelasnya.

Juga menamatkan kemarau penantian, rakan senegeri Hafiz, Dayang Nurfaizah pula mengenepikan calon kegemaran iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor apabila memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Seandainya Masih Ada Cinta.

Dua penyanyi yang semakin rancak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa pula iaitu Shila Amzah diberikan penghormatan menerusi Anugerah Kembara manakala Yuna membawa pulang trofi Lagu Terbaik dengan lagu Lelaki.

Tidak ketinggalan, cukup sinonim dengan industri muzik dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan BMG, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes pula menerima anugerah Seri Wirama.

Dihoskan gandingan mantap, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad, kemeriahan malam itu menjadi hangat apabila kedua-duanya bergurau secara spontan saling mengenakan diri sendiri dan artis lain.

Membuka tirai persembahan malam itu, Ning Baizura, Spider dan Aizat tampil bertenaga manakala Datuk Siti Nurhaliza juga sempat memukau penonton dengan vokal hebatnya serta segmen penutup menampilkan penyanyi lama Khadijah Ibrahim, Zainal Abidin, Jay Jay dan Dayangku Intan.

Senarai pemenang AIM20


Lagu Pop Etnik Terbaik: Pahlawan Zafana (Ihab Ismail/Ahmad Fedtri Yahya) - Ihab Ismail


Lagu Nasyid Terbaik: Mawar Berdarah (B. Nury) - Rabbani


Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: In The House (Alvin Teoh&Lau Hoe Yin/Altimet&ZE) - Goldfish & Blink feat. Altimet & ZE

Lagu Hip Hop Terbaik: Aku Pelat (DJ Fuzz/Jay Tan, Salam, Eyza Bahra, Zion Dread) - Salammusik feat. Zion Dread

Artis Baru Terbaik: Alex Subryn

Video Muzik Terbaik: #1 (Perez Oldskool) - Pretty Ugly

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Saujana - Salam Atasmu

Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Di Dalam Lagu: Anuar Zain & Dayang Nurfaizah - Sedetik Lebih

Lagu Pop Terbaik: Lelaki (Yunalis Zarai) - Yuna

Lagu Rock Terbaik: Di Bawah Gerbang Skaea (Edrie Hashim/Buddhi Hekayat) - Amy Search

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Hilang Naluri (Dewi Q/Ariyanto) - Once

Anugerah kembara - Shila Amzah

Kulit Album Terbaik: Penglipur Lara (Zach Mohd Azriq) - Hazama

Rakaman Album Terbaik: Luahan Hati Anak Seni (CL Toh) - Hafiz

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Bila Resah (Jenny Chin) - Anuar Zain & Dayang Nurfaizah

Anugerah Seri Wirama: Tan Sri Tony Fernandes

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Hafiz - Bahagiamu Deritaku

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Dayang Nurfaizah - Seandainya Masih Ada Cinta

Lagu Terbaik: Lelaki (Yunalis Zarai) - Yuna

Album Terbaik: Luahan Hati Anak Seni (LY/Hafiz Suip/AG Coco/Ajai/Satria Anggun/Kunci Demak/Mohd Atlan/Manusia Putih/Mega Pandawa/Aiman) - Hafiz
s
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.