Ahmad Zaharil imbau kes ibu terpaksa curi kotak pensel demi tunai janji anak dapat nombor satu.
Seorang peguam tidak menyangka, wanita yang dibantu 25 tahun lalu berkaitan kes mencuri kotak pensel untuk dihadiahkan kepada si anak, kini anaknya membesar sebagai pengamal undang-undang.Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkongsi pengalaman manis tersebut, apabila seorang anak muda yang tidak dikenali menegurnya di mahkamah pada tahun 2017.
Menurut beliau, anak muda berkenaan menangis sebaik sahaja menyapa lalu mengucapkan terima kasih kerana membantu ibunya pada tahun 1998.
Pada tahun 1998, Ahmad Zaharil merupakan seorang peguam muda dalam usia 30-an.@amzaharil ♬ original sound - amzaharil
Suatu hari, dia berada seorang diri di mahkamah selepas menangani satu kes, ketika seorang wanita berusia lebih 50 tahun berketurunan India, yang bekerja sebagai tukang sapu, tiba diiringi polis dengan bergari.
Ahmad Zaharil, kini berusia 57 tahun, menceritakan:
"Melihatnya dalam kesulitan, saya tergerak untuk mendekatinya dan bertanya bagaimana dia terheret ke mahkamah. Dia menerangkan bahawa dia mencuri sebuah kotak pensel dari sebuah pasar raya.
Kotak pensel itu sebagai hadiah untuk anak lelaki yang berusia 10 tahun, anak tunggalnya. Dia berjanji akan menghadiahkan kotak pensel jika anaknya menjadi pelajar terbaik dalam kelas.”
Anak lelaki itu, yang berada di Tahun Empat, telah lulus ujian dengan cemerlang, menjadi pelajar terbaik dalam kelasnya. Namun, ibunya yang miskin tidak mempunyai wang dan akhirnya mencuri kotak pensel RM18 dari pasar raya, kemudian ditangkap.
Ahmad Zaharil bercerita lagi:
"Pada masa itu, saya berfikir jika dia dipenjara kerana kesalahan tersebut, siapakah yang akan menjaga anaknya? Jadi, saya terpaksa campur tangan.
Setelah berbincang dengan majistret untuk menangguhkan kes ke waktu kemudian pada hari itu, saya pergi ke sekolah anak lelaki itu di Sentul untuk mengesahkan dakwaan ibu itu.
Selesai merisik dengan guru besar, ternyata benar bahawa anak lelaki itu memang pelajar terbaik dalam kelasnya.”
Kata Ahmad Zaharail lagi, bersama dengan guru anak lelaki itu, dia segera kembali ke mahkamah di mana dia berjumpa dengan pemilik pasar raya.
"Saya menawarkan pemilik pasar raya itu dua kali ganda harga kotak pensel tersebut dan memohon belas kasihan untuk memberi pengampunan kepada wanita itu. Walau bagaimanapun, dia menolak dan ingin meneruskan kes itu," kata Ahmad Zaharil.
Katanya, apabila kes wanita itu disebut dalam perbicaraan, dia memberi penjelasan bagi pihak wanita tersebut.
Berdasarkan keterangan guru dan selepas menimbang kes, majistret itu membebaskan wanita itu dengan syarat dipantau selama 1-2 tahun di bawah ikat jamin berkelakuan baik.
"Sebelum dia pergi, kami mengutip sumbangan wang beberapa ratus ringgit yang dikumpul oleh kakitangan mahkamah, polis, dan saya.
Kami memberikan wang tersebut kepada wanita itu. Dia pergi selepas menyatakan rasa berterima kasih dan saya tidak pernah melihatnya lagi," kata Ahmad Zaharil, yang pakar dalam kes berkaitan jenayah dadah.
Walau bagaimanapun, dia berkata kes itu sentiasa dikenang sepanjang tiga dekad kerjayanya.
Pada tahun 2018, semasa menjalani rutin di mahkamah, dia didekati seorang lelaki yang berusia awal 30-an. Lelaki itu menegur Ahmad Zaharil:
"Hello, tuan. Mungkin tuan tidak mengenali saya, tetapi saya adalah anak tukang sapu yang tuan tolong 20 tahun yang lalu. Masih ingat kes kotak pensel?
Ibu saya melihat tuan dalam berita di TV berkenaan kes yang tuan tangani dan memberitahu saya tentang tuan. Saya mencari tuan dan sangat gembira dapat bertemu. Saya sekarang seorang peguam.”
Ahmad Zaharil berkata matanya berlinang air dan dia berasa terharu. Keduanya berpelukan.
"Saya hampir pengsan apabila dia memberitahu siapa dia. Ia membuahkan rasa haru dan salah satu momen terbahagia dalam hidup saya. Kami kemudiannya melawat ibunya, yang kini berusia 76 tahun.
Sejak itu, kami menjadi rapat. Dia seperti anak lelaki kepada saya. Kami akan melawat satu sama lain semasa Deepavali dan Hari Raya," kata Ahmad Zaharil.
Ketika menceritakan takdir pertemuan pada tahun 1998 dengan ibu tersebut, beliau berkata:
"Saya membantu kerana dia juga rakan sewarga Malaysia. Di sini, walaupun latar belakang kita berbeza, tapi perbezaan kita cuma hal kecil. Kita mempunyai persamaan yang lebih bererti. Kita boleh hidup harmoni sebagai sebuah keluarga besar."
Nota: Lebih mudah mencari negarawan ulung yang benar-benar sejati dari kalangan marhaen akarumbi. Ramai penguasa kayangan terlalu tekun mengadudomba dan memecahbelahkan, bukan saling menyatukan.
SOURCE: Terjemahan artikel dalam The Star.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date