Nur Humaira tak mengaku curi kad debit ibu saudara, beli iPhone 14 Pro
PETALING JAYA: Seorang wanita yang tular kerana didakwa mencuri dan menggunakan wang milik ibu saudara tirinya untuk membeli iPhone 14 Pro, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan itu.
Tertuduh didakwa mencuri kad debit milik ibu saudara tirinya dan mengeluarkan wang berjumlah RM8,200 tanpa pengetahuan wanita itu.
Tertuduh, Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nadia Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri kad debit milik ibu saudara tirinya, yang berusia 26 tahun dan mengeluarkan wang berjumlah RM8,200 tanpa pengetahuan wanita itu.
Dia melakukan perbuatan itu di Regalia Residence, Chow Kit, di sini, di antara 23 Mac dan 24 Mac lalu, lapor Berita Harian.
Dakwaan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa menyalahgunakan wang berkenaan yang dikeluarkan daripada akaun RHB tanpa pengetahuan, di lokasi sama pada tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Pegawai Pendakwa Nom Phot Prackdit mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak bekerja memohon dibenarkan ikat jamin dengan jumlah paling rendah dan memberitahu mahkamah bahawa bapa saudaranya akan hadir menjaminnya.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga, selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Pada 14 April lalu, media melaporkan penahanan seorang wanita kerana disyaki mencuri RM8,200 daripada akaun bank ibu saudara tirinya untuk membeli iPhone.
Suspek ditahan di sebuah premis di Pandan Perdana, pada jam 12.25 tengah malam dan polis turut menemui kad ATM milik mangsa, selain merampas telefon pintar dipercayai dibeli menggunakan wang dicuri.
Perbuatannya tular di media sosial selepas mangsa meluahkan perasaan terkilan apabila layanan baik untuk membantu anak saudaranya itu dibalas dengan cara sedemikian, lebih-lebih lagi ia berlaku pada minggu pertama Ramadan.
Wanita itu dilaporkan terkejut apabila akaun banknya hanya berbaki RM500 menyebabkan beliau tidak mampu membayar semua komitmen bulanan, termasuk sewa rumah.
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags