RIYADH: Vaksin COVID-19 Moderna dianggap lebih berkesan dengan keberkesanan lebih tinggi berbanding vaksin lain terutama terhadap varian Delta, kata jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Dr Muhammad Al-Abdel Ali.
Dr Muhammad pada sidang media di sini semalam berkata Kementerian Kesihatan mula memberikan dos penggalak kepada kumpulan berisiko tinggi, individu yang menjalani pemindahan organ, mereka yang mempunyai penyakit ginjal kronik dan petugas kesihatan
Memetik laporan Saudi Gazette, beliau juga menegaskan dos pertama dan kedua vaksin selamat untuk wanita hamil pada semua peringkat kehamilan.
Beliau mengesahkan pentingnya melengkapkan vaksinasi dan semua pihak perlu mematuhi langkah berjaga-jaga walaupun kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19.
Kes baharu COVID-19 di Arab Saudi berada di bawah 50 semalam, hari keempat berturut-turut, dengan 41 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Arab Saudi sudah memberikan lebih 44 juta dos vaksin sehingga kini sejak permulaan program vaksinasi dilaksanakan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Letnan Kolonel Talal Al-Shalhoub, berkata dalam tempoh seminggu, sebanyak 22,746 pelanggaran tindakan pencegahan terhadap COVID-19 dikesan.
Beliau berkata keputusan untuk melonggarkan langkah pencegahan bermula semalam hanya untuk mereka lengkap dua dos vaksin bagi pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan penjarakan fizikal.
Pada sidang media sama, jurucakap Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Hani Haidar, mengesahkan kesediaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk menerima jemaah dalam kapasiti penuh.
Jurucakap itu menegaskan bahawa ibadah umrah atau solat di Masjidil Haram atau Rawdah Sharif di Masjid Nabawi hanya dibenarkan kepada individu lengkap vaksin dan berumur 12 tahun ke atas.
Permit akan terus dikeluarkan melalui janji temu melalui aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengawal bilangan jemaah.
Dr Emad Al-Mohammadi selaku perunding pencegahan perubatan dan kesihatan awam di The Public Health Authority (Weqaya), berkata syarat untuk imbasan suhu di pintu masuk dan kemudahan pusat dibatalkan, sebaliknya memadai status kesihatan di aplikasi Tawakkalna.
Pada sidang media itu, jurucakap Kementerian Perbandaran dan Luar Bandar dan Perumahan, Saif Al-Suwailem mengesahkan kementerian melakukan 5,300,000 pemeriksaan di semua wilayah Arab Saudi.
Selepas keputusan membenarkan orang ramai mengadakan dan menghadiri acara di dewan perkahwinan dan tempat lain, Al-Suwailan menekankan pentingnya pemakaian pelitup muka ketika menghadiri majlis atau di kawasan tertutup. - AGENSI
SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.