Tular tawaran sijil vaksinasi palsu

TAWARAN sijil vaksinasi palsu melalui Telegram tular dalam media sosial.


PETALING JAYA: Satu hantaran di Telegram yang didakwa menawarkan pembelian tiga jenis sijil vaksin palsu tular dalam media sosial sejak pagi ini.


Tawaran melalui satu kumpulan Telegram itu melibatkan pembelian termasuk sijil yang mempunyai kod QR yang boleh diimbas melalui aplikasi MySejahtera dengan harga berbeza.

Difahamkan, orang ramai yang berminat boleh memilih mendapatkan sijil vaksin berharga RM1,500 melalui aplikasi MySejahtera yang menggunakan akaun sendiri dan lengkap dengan kod QR boleh diimbas.

Selain itu, caj RM400 pula dikenakan untuk sijil vaksin “klon” menggunakan identiti dan maklumat individu lain dan RM200 pula untuk kad vaksin palsu.


Kumpulan di Telegram yang mempunyai 280 ahli aktif itu juga dikesan pernah menjual Ivermectin, sejenis ubat anti parasit yang dikatakan boleh merawat Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung perkara itu.

“Berikan masa untuk kita kumpul maklumat,” katanya ringkas di sini hari ini.


Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba memalsukan sijil vaksin Covid-19 digital.

Kementerian itu percaya terdapat permintaan terhadap sijil vaksin palsu dalam kalangan antivaksin serta mereka yang belum mendapatkan vaksin atas sebab-sebab tertentu.- UTUSAN ONLINE

SOURCE: UTUSAN

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.