Institut Latihan Memandu (ILP) Dibenarkan Beroperasi Mulai 9 September |
KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara kembali beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata kebenaran itu akan bermula 9 September ini secara janji temu.
“Walaupun Institut Memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai 9 Sept 2021, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September ini.
“Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan antaranya mematuhi SOP PPN yang sedang berkuatkuasa.
“Pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.
“Syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin. Sekiranya, kadar peratusan pekerja lengkap menerima vaksin adalah 40%, maka kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi adalah 60%. Jika 60% lengkap menerima vaksin, 80% pekerja dibenar beroperasi. Syarikat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima vaksin,” katanya.
Wee berkata, kehadiran kakitangan atau calon bergejala, berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), “Person Under Surveillance” (PUS) dan sedang dalam perintah kuarantin adalah tidak dibenarkan.
Katanya, semua pihak juga perlu mematuhi protokol kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan “hand sanitizer”.
Beliau turut mengumumkan institut memandu diberi moratorium selama tiga bulan hingga 30 Nov 2021 bagi keperluan pembaharuan permit bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya tamat antara Januari hingga September 2021.
Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.