Pasangan kekasih proses kanabis jadi biskut dan kek

PERALATAN dan bahan membuat kek dan biskut yang dirampas polis. FOTO ihsan polis

Kuala Lumpur: Kegiatan sepasang kekasih memproses dadah kanabis menjadi kek dan biskut sebelum dijual antara RM50 hingga RM100 sejak lima bulan lalu tumpas selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan kelmarin.


Apa yang membimbangkan kemungkinan kanak-kanak turut menjadi mangsa jika terbeli kek dan biskut mengandungi kanabis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menjalankan risikan selama sebulan ke atas satu sindiket dadah yang didalangi oleh warga tempatan.

Menurutnya, sindiket ini aktif di kawasan Lembah Klang dan susulan itu menerusi Ops Storm pada 3.50 petang polis melancarkan dua serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan dan sitaan RM491,089.

"Serbuan pertama yang dijalankan, polis berjaya menahan Honda City warna kelabu di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu, di sini dan menahan lelaki berusia 34 tahun.

"Polis kemudian merampas dua kotak dan satu beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut berasaskan kanabis seberat 7.375 kilogram (kg) bersama 53 biji kek mengandungi kanabis seberat 5.32 kg," katanya dalam kenyataan hari ini.

BISKUT dan kek berasaskan kanabis yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Sahar berkata, hasil soal siasat polis kemudian menyerbu sebuah residensi di PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya, Selangor jam 6.30 petang.

"Polis menahan wanita berusia 28 tahun dan merampas 131 balang biskut berasaskan kanabis seberat 35.9 kg, 41 kek seberat 4.305 kg, lapan ketulan mampat kanabis, empat periuk berisi cecair kanabis, dua ketuhar elektrik, mesin pengadun dan peralatan membuat kek serta biskut.

"Siasatan awal polis mendapati pasangan kekasih menjadikan kediaman mereka yang disewa lapan bulan lalu dengan bayaran RM3,000 sebulan sebagai tempat memproses kek dan biskut berasaskan kanabis," katanya.


Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, modus operandi sindiket adalah dengan mendapatkan bekalan kanabis dan seterusnya memproses sendiri untuk dijadikan kek dan biskut untuk dipasarkan pada harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi satu biji kek seberat 100 gram.

"Pelanggan terdiri daripada kenalan rapat lelaki itu di dalam media sosial iaitu Instagram.

"Dipercayai juga bahawa biskut dan kek ini mempunyai impak negatif jika dimakan oleh golongan kanak-kanak," katanya.

BISKUT berasaskan kanabis yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Katanya, polis menasihatkan orang ramai tidak membeli atau memiliki apa jua makanan yang mempunyai kandungan kanabis atau dadah lain yang merbahaya terutama kepada kanak-kanak.

"Hasil ujian saringan awal polis suspek lelaki positif kanabis dan mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau.


"Lelaki itu direman enam hari bermula semalam manakala teman wanitanya direman seminggu bermula semalam," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dadah RM229,299 manakala kereta RM250,000 serta wang tunai RM11,790.00 menjadi jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan RM491,089.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

SOURCE: Hmetro

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.