Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly. - Foto Bernama |
PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly berjaya merangkul pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) lelaki pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.
Kemenangan itu sekaligus mempertahankan gelarannya yang dimenangi di Rio 2016, selain menjadi pingat emas ketiga buat Malaysia.
Khabar gembira buat kem para negara apabila seorang lagi atlet, Abdul Latif Romly menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, sebentar tadi. |
Jelas sekali, Latif yang juga pemenang pingat emas Rio 2016 cukup sukar digugat apabila catatan pada lompatan kedua iaitu 7.45 meter langsung tidak mampu dicabar peserta lain.
Disebalik kecederaan yang dialami atlet olahraga para negara @latifromly sebentar tadi... Dia masih terus sukar dicabar untuk pertahankan pingat emas 7.45 meter. Terima kasih Latif.🇲🇾🥇@BuletinTV3 pic.twitter.com/bMI8NGXVJW
— Hasnida Hanim Ahmad Kamil TV3 (@hanimNewsMPB) September 4, 2021
Lompatan pertama menyaksikan Latif sudah membuat kejutan apabila mencatatkan 7.26 meter mengatasi pencabar lain.
Namun, pada lompatan keempat Latif dibatalkan sebelum percubaan kelima menyebabkan dia mengalami kecederaan sekali gus mencatatkan hanya 5.56 meter.
Kecederaan yang dialami Latif menyebabkannya terpaksa menangguh hasrat untuk memecah rekod dunia yang diciptanya apabila tidak melakukan lompatan pada percubaan keenam.
Sementara itu, atlet dari Greece Prodromou Athanasios pula meraih pingat perak dengan catatan terbaik 7.17 meter sementara peserta mewakili Australia Hum Nicholas pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mencatatkan 7.12 meter.
Mengikut rekod, Latif adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m dan rekod Paralimpik (7.60m), malah dia memasang impian untuk memecah rekod dunia sekali lagi di Tokyo.
Rekod terbaiknya adalah di kejohanan ParaAsia Jakarta 2018 apabila mencatatkan 7.64 meter.
Latif layak menerima ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.
Terdahulu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas kedua selepas menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-17, 21-15.
Sebelum ini, Bonnie Bunyau Gustin muncul atlet pertama negara berjaya menyumbangkan emas dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg).
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.