Dibiarkan Mati di lantai wad, keluarga pertimbang fail saman cuai

Gambar mendiang Ehambaram Kutti, 74, dan tangkap layar daripada video tular menunjukkan beliau bergelut di wad hospital.

JKN Kedah nafi biarkan pesakit Covid-19 mati di lantai hospital

SUNGAI PETANI: Keluarga seorang lelaki yang ditemui mati di lantai sebuah hospital di sini, Isnin lalu menuntut jawapan lebih jelas berhubung punca kematiannya.

Bekas pujari (sami kuil Hindu) Ehambaram Kutti, 74, dari Gurun, yang dimasukkan ke wad Kategori 4 Covid-19 Hospital Sungai Petani ditemui mati pada malam Merdeka. Terdapat dakwaan beliau tidak dibantu selepas dilihat merangkak di atas lantai untuk meminta bantuan.


Peguam keluarganya, Sujatha Subramanian berkata dakwaan Kementerian Kesihatan yang beliau meninggal dunia akibat kesan teruk Covid-19 tidak mungkin berlaku kerana mereka diberitahu kematiannya akibat “trauma di kepala”.

Katanya, perkara itu disampaikan kepada keluarga terbabit susulan bedah siasat di Hospital Alor Setar semalam.

“Ketika keluarga itu meminta bedah siasat dilakukan, mereka diberitahu beliau meninggal dunia akibat Covid-19 ’dan bedah siasat tidak diperlukan. Kami kemudian diberitahu laporan polis perlu dibuat dalam keadaan seperti itu, yang kemudian telah dilakukan keluarga itu.

“Kami diberitahu laporan bedah siasat penuh akan siap dalam masa tiga bulan,” katanya kepada FMT.


Sujatha berkata, berdasarkan video kejadian itu, kematian Ehambaram nampaknya berpunca daripada masalah kecuaian kakitangan perubatan tidak membantu pesakit, khasnya di wad berisiko tinggi.

Katanya, keluarga itu menolak penjelasan hospital yang pesakit terbabit “sering” dijaga.

“Jika ada petugas, mereka boleh menaikkannya (ke katil) dan beliau mungkin masih hidup. Kami sekarang akan tunggu laporan bedah siasat dan mempertimbangkan saman kecuaian terhadap hospital itu.”

Kematian Ehambaram menjadi perhatian di seluruh negara baru-baru ini, susulan beberapa video menunjukkan beliau cuba berdiri dengan memaut pada katil pesakit lain. Video itu kemudiannya dipotong tiba-tiba dan menunjukkan lelaki itu terbaring kaku di lantai dengan beg kencingnya bersebelahan.

Mesej yang menyusuli video itu mendakwa pesakit lain sudah memaklumkan jururawat bertugas mengenai warga emas berkenaan, namun hanya disuruh “memeriksa sama ada lelaki itu masih hidup atau tidak”.

Mesej itu turut mendakwa lelaki terbabit dibiarkan terbaring selama 40 minit selepas rebah, tanpa ada yang tampil memeriksanya. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia.


Jabatan Kesihatan Kedah dalam kenyataan mengisytiharkan kematian warga emas itu akibat “pneumonia teruk Covid-19”.

Katanya, pesakit itu kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan, tetapi beliau tetap dipantau lebih kerap oleh petugas kesihatan.

Tanpa menamakan Ehambaram, katanya, lelaki itu turut mempunyai sejarah sakit kronik dan keadaannya kian merosot, serta keluarganya “menerima baik” penjelasan pihak hospital. - FMT

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.