Datuk Seri Hishammuddin menegaskan, melalui taklimat bahagian risikan tentera, beliau dimaklumkan amaran itu dikeluarkan dengan bersandarkan laporan sebuah platform media.- Gambar fail/BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Luar Jepun mengeluarkan amaran kepada rakyatnya terhadap kemungkinan wujudnya ancaman pengganas di Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah satu perkara tidak berasas.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, melalui taklimat bahagian risikan tentera, beliau dimaklumkan amaran itu dikeluarkan dengan bersandarkan laporan sebuah platform media.
"Saya telah dimaklumkan oleh risikan tentera yang amaran itu sebenarnya berdasarkan kepada platform media. Dakwaan itu tiada asas langsung berhubungkait dengan pengganas dan saya akan tanya Wisma Putra, apa sebabnya Jepun mengeluarkan kenyataan itu. "Tapi dari segi ancaman sebenar, saya boleh mengesahkan dari segi risikan tentera dan telah disahkan oleh Ketua Polis Negara sendiri, ia tidak menimbulkan sesuatu yang perlu kita bimbangkan di Malaysia," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, pada Selasa.
Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
BACA: Kedutaan Jepun sahkan keluar amaran kepada warganya di Malaysia kemungkinan ancaman pengganas
Semalam, Kementerian Luar Jepun menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak lain.
Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan pengebom berani mati di lokasi tumpuan orang ramai seperti rumah ibadat. Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia ketika ini.
SOURCE: AWANI
Kongsikan artikel ini: