103 kes varian Delta baharu dikesan di Malaysia

Mutasi itu ditemui melalui kajian oleh UKM Medical Molecular Biology Institute dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Dua kajian tempatan terhadap mutasi protein pepaku COVID-19 mengesan 103 varian yang membimbangkan (VOC) Delta di antara 29 Ogos hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mutasi itu ditemui melalui kajian berterusan oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) yang mengenal pasti sebanyak 44 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) mengenal pasti sebanyak 59 kes.

Beliau berkata, semuanya varian Delta (B.1.617.2), menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diperhatikan (VOI) sebanyak 1,324 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 1,304 kes VOC, manakala 20 kes VOI.

"Sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,081 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 24 kes daripada 103 varian Delta yang dikesan membabitkan kes masing-masing di Johor dan Kedah; masing-masing 13 kes di Melaka dan Selangor; 10 kes di Kelantan; tujuh di Perak; lima di Terengganu; empat di Kuala Lumpur dan tiga di Negeri Sembilan.

SOURCE: BH Online

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.