Kemewahannya disedari penduduk kampung sehingga ada yang menuduhnya menggunakan sihir untuk melariskan perniagaan. |
Youtuber Kaya Mendadak Dituduh Guna Sihir
Banyumas, Indonesia: Siswanto sebelum ini sering berdepan nasib kurang baik dalam kerjaya sebagai mekanik namun keadaan berbeza selepas dia mula memuat naik video sehingga mengubah nasib komunitinya yang kini diberi jolokan Kampung YouTube Indonesia.
Ia bermula empat tahun lalu ketika Siswanto bergelut untuk meneruskan perniagaan bengkelnya di Kasegeran, bandar yang jauh di pinggir Jawa sehingga warga Indonesia juga sukar menjumpainya di peta.
Dia tersepit untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga namun pekerjaan sampingan iaitu mengutip sampah dan menanam kacang soya tidak cukup untuk menampung keperluannya.
Dia mendapat idea untuk menghasilkan video pendek komedi mengenai sambungan internet di Kasegeran selepas menonton rancangan televisyen memaparkan pempengaruh Indonesia yang menjana pendapatan lumayan melalui video dalam talian.
“Namun, ketika itu tiada sesiapa menonton video yang saya hasilkan dan saya berhenti,” kata pemuda berusia 38 tahun itu.
SISWANTO merakam video di sungai berhampiran desanya. FOTO AFP |
“Walaupun saya mekanik, ada masanya saya tidak tahu membaiki sesuatu model motosikal kerana ia terlalu sukar,” katanya.
Dari situasi itu, dia mendapat idea menghasilkan video membaiki motosikal yang mudah diikuti.
Dia menggadai telefon bimbit yang dikongsi dengan isterinya dan menambah peralatan untuk rakaman video.
“Pada awal video, saya menggigil dan banyak merapu. Namun, selepas beberapa tahun saya dapat mengumpul pengikut mencecah dua juta orang di YouTube,” katanya.
Dia menubuhkan pasukan kecil untuk kerja suntingan dan memuat naik video berkaitan kerja membaiki motosikal atau aktiviti memancing.
Hasilnya, dia menjana pendapatan sehingga 150 juta rupiah sebulan (kira-kira RM44,000).
Kemewahannya disedari penduduk kampung sehingga ada yang menuduhnya menggunakan sihir untuk melariskan perniagaan.
Katanya, ada ibu bapa melarang anak mereka pergi ke bengkelnya kerana risau dijadikan korban ilmu hitam.
“Saya panggil semua penduduk dan menjelaskan bagaimana saya menjana pendapatan melalui video YouTube. Kebanyakan mereka tidak pernah dengar langsung mengenai YouTube,” katanya.
Siswanto kemudian menawarkan diri mengajar penduduk kampung menghasilkan video dan sehingga kini sekurang-kurangnya 30 penduduk Kasegeran memiliki saluran sendiri dengan ratusan ribu pengikut.
Seorang daripadanya adalah Tirwan, 45, yang menjual makanan ringan dikenali sebagai cilok dengan pendapatan sekitar 50,000 rupiah sehari.
Hari ini, dia menghasilkan video masakan selain turut menyelitkan video mengenai pemburuan hantu.
Dengan peningkatan pendapatan penduduk kampung, Kasegeran kini dilengkapi sambungan internet lebih pantas yang dapat membantu pelajar menyertai kelas dalam talian.
“Kasegeran sebelum ini adalah kampung termiskin di daerah ini, namun kini kami menyaingi kampung lain,” kata Ketua Kampung, Saifuddin.