Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi |
KEBIJAKSANAAN dan berkat kesabaran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berjaya mengemudi Umno selama 40 bulan tanpa sebarang jawatan kerajaan.
Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata pengorbanan Presiden Umno itu terlalu besar dalam memastikan Umno tidak hilang ditekan oleh mereka yang memegang puncak kuasa.
“Pada mulanya tindakan dan keputusan beliau gagal dihargai oleh sebilangan ahli termasuk beberapa pemimpin Umno sendiri.
“Tetapi kini telah dibuktikan beliau benar-benar layak memimpin Umno dan Barisan Nasional untuk kembali memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu Mustafa Shah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.
Katanya, Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu telah menyaksikan Umni-Barisan Nasional kehilangan mandat untuk terus mentadbir.
Namun, beliau berkata parti itu tidak memilih ke jalan raya membangkang keputusan tersebut dan memilih untuk membina semula kekuatan untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat menjelang PRU15.
“Namun, dengan izin Allah SWT sebelum tibanya waktu tersebut, Umno diberikan semula amanah dan tanggungjawab untuk memandu negara keluar daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi.
“Ini tanggungjawab besar dan segala perhatian tentu tertumpu kepada Ismail Sabri dan Umno untuk membuktikan semula kepada rakyat bahawa Umno dan BN mampu mentadbir negara dengan baik seperti dilakukan hampir 60 tahun sebelum ini,” katanya.