Perlukah dos vaksin ke-3 ?

SEHINGGA kini dua dos vaksin sudah cukup melindungi masyarakat daripada komplikasi akibat jangkitan Covid-19.



SAUDARA PENGARANG,

SECARA umumnya, antibodi yang dihasilkan selepas vaksinasi atau sesuatu jangkitan menurun selepas sela masa tertentu.

Bagaimanapun, sekiranya vaksin terbabit merangsang tindak balas sel B iaitu sel yang menghasilkan sel memori, maka jangkitan masih boleh dicegah kerana sel itu akan menjadi aktif dan mengeluarkan antibodi apabila terdapat jangkitan baharu.

Persoalannya, adakah penurunan paras antibodi ini cukup untuk melindungi daripada jangkitan Covid-19? Penularan wabak dan vaksin Covid-19 masih baharu dan saintis belum benar-benar faham tentang perkara ini. Justeru, kajian berterusan perlu dilakukan.

Rakyat tidak perlu keliru sebaliknya berlapang dada sekiranya mendapat berita baharu berkaitan vaksin kerana ia adalah hasil kajian terbaru.


Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed
Mungkin hasil kajian hari ini tidak sama dengan hasil kajian sebulan akan datang kerana pelbagai faktor seperti mutasi virus. Virus akan terus bermutasi dan besar kemungkinan boleh menjadi lebih bahaya.

Setakat ini, kajian yang dijalankan masih menunjukkan dua dos vaksin mampu untuk mengurangkan risiko kematian dan risiko jangkitan yang teruk.

Kajian klinikal setakat ini menunjukkan paras antibodi yang terhasil selepas dos pertama adalah rendah dan hanya mampu mencegah lebih kurang 50 peratus jangkitan.

Bagaimanapun, perlindungan selepas mendapat dos kedua sangat tinggi iaitu sehingga lebih 90 peratus.

Secara teori, apabila vaksin dos pertama disuntik, sistem imun badan akan menghasilkan antibodi dan sel-sel memori yang spesifik kepada kuman tersebut.

Tindak balas ini dikenali sebagai respon primer yang mengambil masa beberapa hari sebelum antibodi terhasil. Antibodi tersebut dihasilkan dalam kuantiti yang agak rendah.

Apabila dos kedua diberikan, sel-sel memori telah mengenali antigen yang terdapat di dalam vaksin dan akan terus bertindak dengan cepat.

Tindak balas ini dikenali sebagai respons sekunder. Respons sekunder lebih cepat dan bilangan antibodi yang terhasil adalah lebih banyak.

Lebih banyak antibodi dan sel memori yang terhasil, maka perlindungan adalah lebih baik.

Vaksin tidak menyebabkan seseorang kebal kepada jangkitan tetapi membantu melawan dan menghalang virus daripada terus menjangkiti dan menyebabkan komplikasi.

Pemberian vaksin dos ketiga dipengaruhi oleh dua faktor utama. Faktor pertama ialah mengenai keberkesanan vaksin.

Kajian menunjukkan paras antibodi menurun antara tiga hingga enam bulan selepas dos kedua tetapi sel memori kekal di dalam badan dan akan menjadi aktif serta berupaya memberi perlindungan yang baik sekiranya terdapat jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, kajian juga mendapati apabila dos ketiga diberikan setelah enam hingga lapan bulan selepas dos kedua, ia dapat meningkatkan paras antibodi sebanyak tiga kali ganda.

Ada juga kajian yang dilakukan melibatkan penambahan dos daripada jenis vaksin berbeza, namun setakat ini kebanyakan kajian menunjukkan kesan yang lebih baik sekiranya mengambil lebih daripada dua dos.

Faktor kedua pula disebabkan mutasi virus yang mungkin memerlukan dos ketiga atau suntikan vaksin setiap tahun disebabkan virus SARS–CoV–2 yang menyebabkan Covid-19 berupaya untuk bermutasi dan menghasilkan varian baharu.

Jika keberkesanan vaksin terhadap varian baharu berkurangan, maka vaksin baharu perlu dihasilkan dan diberikan kepada rakyat.

Pun begitu, banyak lagi kajian perlu dilakukan sebelum polisi tiga dos dilaksanakan. Buat masa ini, keutamaan harus diberi kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos pertama dan kedua.

Sekurang-kurangnya masyarakat memiliki perlindungan asas untuk melawan jangkitan Covid-19.

PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED & DR. LIYANA AZMI, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.