Mangsa berusia 59 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai tingkat bawah. |
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Britain ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai terjun dari tingkat 19 di sebuah kondominium di Bukit Jalil di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan ada pukul 9.39 berkenaan kematian akibat jatuh bangunan.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berusia 59 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai tingkat bawah.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa mengalami tekanan perasaan akibat kematian isterinya baru-baru ini kerana jangkitan Covid-19.
“Saksi kejadian menyatakan mangsa telah terjun dari tingkat 19, kondominium tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Idzam, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan.
“Polis menasihatkan orang ramai yang mengalami masalah akibat daripada pandemik Covid-19 tidak membuat sebarang tindakan yang boleh membahayakan diri dan keluarga,” katanya.