Wanita tertekan diceraikan suami ketika pantang

Ibu tiga anak ketika menerima kunjungan Pengurus Semarak Resource Centre, di Flat Taman Semarak, Nilai pada Isnin.

Dicerai dalam pantang hanya kerana buku klinik koyak



SEREMBAN – Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami tekanan dan kemurungan teruk selepas diceraikan suami dalam tempoh berpantang di Flat Taman Semarak 2, Nilai di sini.

Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun itu hampir bertindak membunuh diri, namun berjaya diselamatkan oleh jiran dalam kejadian Jumaat lalu.

Lebih menyedihkan, wanita yang mempunyai tiga orang anak berusia 4, 2 dan 17 hari diceraikan suami pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak bongsunya.

“Saya tidak sangka jadi seperti ini (diceraikan) mungkin sudah nasib dan sekarang saya hanya fikir tentang anak-anak.

“Sebenarnya terlalu banyak perkara yang saya pendam dan emosi tidak stabil dalam tempoh berpantang menyebabkan saya bertindak di luar kawalan,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Flat Taman Semarak 2, Nilai di sini hari ini.

Menurutnya, pada pertengahan bulan lalu dia sekeluarga disahkan positif Covid-19 dan menyebabkan dia perlu melahirkan anak ketiga secara pembedahan pada 14 Julai lalu.

“Bekas suami yang merupakan seorang mualaf dan anak-anak juga disahkan positif dan kami diarahkan untuk kuarantin kendiri selama 10 hari di rumah yang menjadi antara punca pergaduhan sebelum bercerai.

“Selain itu, pendapatan bekas suami yang bekerja sebagai operator kilang turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dia hanya memperoleh separuh gaji sejak dua bulan lalu,” katanya yang berasal dari Sandakan, Sabah.

Menurut wanita itu, kemuncak kepada pergaduhan yang berlaku dia tidak menyangka diceraikan hanya kerana tegurannya kepada suami yang membiarkan buku temu janji klinik anaknya koyak.

Sesiapa yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank 156226362529 (Maybank). – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.