Wanita mati ditembak anak sendiri

SHAMAYA LYNN maut dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh anak kecilnya di apartmen di Florida. – AGENSI



WASHINGTON: Seorang ibu maut dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh anak kecilnya ketika wanita itu sedang melakukan sidang video dengan rakan sekerjanya.

Lapor The Sun, kanak-kanak itu didakwa mengambil pistol yang berisi peluru di sebuah apartmen di Florida.

Menurut polis Altamonte Springs menerusi kenyataan, ketika kejadian, Shamaya Lynn dilihat secara tiba-tiba jatuh ke belakang selepas rakan sekerjanya terdengar bunyi tembakan yang kuat semasa persidangan video itu.

Dilaporkan, seorang kanak-kanak kecil kelihatan di latar belakang persidangan video itu.

Berdasarkan laporan WKMG-TV, salah seorang rakan sekerja Lynn menghubungi talian kecemasan 911 selepas terdengar bunyi kuat itu.

Polis memaklumkan wanita berusia 21 tahun itu ditembak oleh anak kecilnya yang menemukan pistol di apartmen tersebut.

Lapor agensi berita AP, orang dewasa di apartmen itu mungkin meninggalkan senjata tersebut secara tidak selamat.

Jelas polis, Lynn mengalami luka tembakan di bahagian kepalanya dan pasukan paramedik cuba sedaya upaya menyelamatkannya namun sudah terlambat.

Polis mengesahkan Lynn merupakan ibu kepada seorang bayi dan anak kecil yang berada di rumah itu ketika insiden tersebut.

Menurut pegawai polis Robert Ruiz, siasatan masih sedang dijalankan dan pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara di Seminole County untuk menentukan sama ada tuduhan akan difailkan. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.