SHUIB sempat membuat panggilan video dengan isterinya yang sedang nazak malam tadi. Walaupun koma, ada air mata mengalir di pipinya. |
PETALING JAYA – “Air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.”
Itu antara perkongsian menyentuh hati suami kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib yang sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika isterinya sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, malam tadi.
Kata Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, dia bersama tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dapat melihat air mata mengalir di pipi Allahyarhyam ketika mereka membuat panggilan video, seolah-olah memahami apa yang dibicarakan.
“Saya ada ke hospital selepas anak-anak tidur apabila selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat malam tadi tetapi saya tidak dibenarkan bertemu arwah,” katanya.
Biarpun berat hati merelakan pemergian isteri, Shuib tetap reda apabila Sarah menghembuskan nafas terakhir pagi tadi kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.
AHLI keluarga terdekat memakai sut PPE ketika menguruskan jenazah penyanyi, Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak untuk dikebumikan. |
“Saya belum memaklumkan kepada anak-anak mengenai pemergian ibu mereka kerana saya bergegas ke hospital pagi tadi.
“Ini adalah cabaran kepada saya untuk maklumkan berita ini nanti kerana anak-anak masih tidur ketika saya keluar rumah tadi,” katanya.
Ikrar Shuib, dia berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan Allahyarham dengan baik termasuk zuriat bongsu mereka yang baru dilahirkan, Ayash Affan.