Shuib kelihatan terduduk dan termenung seketika selepas membaca doa di pusara isterinya, Allahyarham Siti Sarah. |
KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu belum sempat memberitahu pemergian arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir, pagi ini kepada anak-anaknya.
Menerusi perkahwinan selama 10 tahun, Shuib dan arwah Siti Sarah dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.
"Buat masa ini, anak-anak belum tahu lagi. Saya baru hendak balik rumah dan memberitahu mereka.
"Doakan urusan saya dipermudahkan. Bapa mentua, Raissuddin Hamzah, insya-Allah okay," katanya ditemui sejurus selesai majlis pengebumian Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari ini.
Terdahulu, Shuib sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika arwah Siti Sarah sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), semalam.
"Saya dan anak-anak dapat melihat air mata berjuraian di pipi arwah ketika membuat panggilan video, seolah-olah memahami anak-anak sedang memanggil dan berbual dengannya," katanya.
AHLI keluarga terdekat memakai sut PPE ketika menguruskan jenazah penyanyi, Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak untuk dikebumikan. |
Shuib dan anak-anaknya sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika Allahyarham Siti Sarah sedang nazak di ICU, HCTM, semalam. - Foto IG Shuib Sepahtu |
"Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik anda semua. Ini atas asbab kebaikan dan kasih sayang, Alhamdulillah.
"Saya mendoakan semoga dipermudahkan kepada sesiapa sahaja dalam kesusahan berjuang dan bertarung nyawa akibat COVID-19," katanya.
Katanya, dia pulangkan semula setiap doa baik-baik untuk mereka yang berdoa untuk arwah isteri.
"Saya balikkan doa ini, semoga kita semua diberkati, dilindungi dan dirahmati Allah SWT.
"Saya mohon maaf atas silap salah, maafkan isteri saya. Tolong sedekahkan bacaan al-Fatihah buatnya," katanya.