SPRM didesak siasat PM

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Laskar Siber Malaysia tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan rasuah terang-terangan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha untuk meraih sokongan.




Presidennya, Datuk Lokman Adam berkata, rakyat Malaysia telah menyaksikan bagaimana seorang Perdana Menteri tampil dengan kenyataan menawar atau dalam kata lain cubaan untuk merasuah secara terang-terangan.

“Menerusi siaran langsung di saluran televisyen semalam, Muhyiddin secara terangan menawarkan rasuah untuk meraih sokongan dengan memberi habuan terhadap ketua pembangkang dan Ahli Parlimen pembangkang.

“Perbuatan ini menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan serta soal yang dikemukakan kepada badan awam itu, adalah perbuatan yang salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika bersama UMNO Seremban mengemukakan laporan aduan kepada SRPM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Lokman berkata, tindakan itu adalah ‘unprecedented’ dan meletakkan kewibawaan Perdana Menteri pada tahap yang tidak boleh diyakini dalam tindakan dan kenyataannya.


LOKMAN Adam (tengah) menunjukkan memorandum berkaitan isu tawaran rasuah politik di perkarangan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri jelas menggunakan Perlembagaan untuk kelangsungan hayat politiknya dengan merasuah ahli Parlimen lain secara terang-terangan dan secara tidak langsung memburukkan lagi kewibawaan institusi Perdana Menteri.

“Tindakan Perdana Menteri yang nyata hilang keabsahan dan kelayakan setelah hilang sokongan majoriti dan tidak bertindak segera meletakan jawatan akan menyebabkan pelbagai tindakan yang diputuskan kerajaan memberi risiko perundangan yang besar.

“Semua keputusan eksekutif tersebut boleh dicabar keabsahan dan keperlembagaannya. Ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang dan risiko kerugian kewangan dan rasuah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah rasuah yang dimulakan Perdana Menteri sendiri, SPRM harus tampil dan melakukan tindakan yang benar dan membasmi jenayah rasuah daripada terus berlarutan.

“Tiada yang lebih penting kepada seorang Perdana Menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Jadi, kami memohon SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap kenyataan Muhyiddin bagi menjaga nama baik negara di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Seksyen 21,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.